Polis Perak rampas dadah bernilai RM11.8 juta

IPOH, 26 Feb -- Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak menahan 1,824 orang dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai kira-kira RM11.8 juta dalam tempoh Jan hingga 24 Feb lepas.

Ketua JSJN negeri, ACP Lee King Chuan berkata antara dadah yang dirampas ialah syabu seberat 90. 413 kilogram (kg) ; ketamin (11.21kg); ecstasy (185,466 biji); Eramin 5 (648 biji) pil yaba (5 biji), ganja (498.08 gram) dan heroin (5. 64kg).

Beliau berkata 980 orang ditahan kerana memiliki dadah, 411 orang pula ditahan kerana menyimpan bekalan dadah manakala 400 orang disahkan positif ujian air kencing dan 33 orang lagi ditahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 (Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK).

Bercakap kepada pemberita dalam persidangan media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini, hari ini Lee berkata nilai sitaan harta dalam tempoh berkenaan pula menjangkau jumlah RM2.227 juta.

Sementara itu Lee berkata Isnin lepas polis menahan satu pasangan suami isteri warga tempatan kerana disyaki mengedar dadah di Kampung Selamat, Sitiawan kira-kira 100 kilometer dari sini.
 
Beliau berkata kedua-dua suspek masing-masing berusia 40-an dan 30-an itu ditahan di sebuah rumah pada kira-kira pukul 3.30 petang dan polis menemukan pelbagai jenis dadah yang bernilai RM134,420.

"Hasil pemeriksaan fizikal yang dijalankan terhadap suspek lelaki itu yang bekerja sebagai kontraktor telah menemukan dadah jenis syabu dengan anggaran berat 75 gram. Hasil pemeriksaan menyeluruh ke atas rumah itu pula menemukan dadah jenis syabu seberat 2.178 kilogram, heroin seberat 254 gram, 44 biji pil ecstasy serta 155 gram bahan yang disyaki dadah” katanya.

Lee berkata hasil ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek positif Methamphetamine dan mereka direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
-- Bernama

Gambar dari FB Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perak
LihatTutupKomentar
Cancel