Polis tahan 12 pelajar sekolah terbabit kes pukul

PASIR MAS, 13 Feb -- Polis menahan 12 remaja sekolah, selepas rakaman kejadian seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun di sebuah sekolah di sini dipukul di dalam kelas Ahad lepas menjadi tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Pasir MAS, ACP Mohamad Roy Suhaimi berkata kesemua pelajar berusia 15 hingga 16 tahun itu ditahan sekitar pukul 5.30 hingga 6.30 petang semalam sebaik sahaja polis menerima laporan daripada keluarga pelajar terbabit pada pukul 2.56 petang.
Beliau berkata sembilan pelajar itu ditahan di sekolah, dua lagi di rumah manakala seorang pelajar hadir menyerah diri ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan polis akan menyerahkan laporan ke ini kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Siasatan awal mendapati pelajar itu dipukul secara beramai-ramai oleh rakan sebaya sehingga mengalami lebam di bahagian muka dan beberapa bahagian badan ketika aktiviti sukan sekolah, dipercayai kerana berebut teman wanita.

“Video kejadian dirakam pelajar di situ yang kemudiannya tular sehingga dikesan bapa kepada pelajar yang dipukul itu, yang bertindak membuat laporan polis di IPD Pasir Mas," katanya.
-- Bernama
LihatTutupKomentar
Cancel