PPSMI keputusan tahun depan...


LANGKAWI: Keputusan sama ada Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) akan dilaksanakan atau tidak hanya akan dapat diketahui tahun hadapan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri yang memangku jawatan Menteri Pendidikan, berkata Kementerian Pendidikan sedang menyiapkan kertas kerja berhubung perkara itu sebelum ia dikemukakan kepada Jemaah Menteri untuk tindakan lanjut.

Dr Mahathir juga menegaskan, beliau tidak boleh membuat sebarang keputusan mengenai perkara berkenaan kerana ia perlu dibawa dan diputuskan oleh Kabinet terlebih dahulu.

“Ketika ini kita sedang sediakan kertas kerja untuk dipertimbang Kabinet, sama ada kita akan laksanakan PPSMI atau kita kekalkan pengajaran Sains dalam bahasa Melayu. Kita harap tahun hadapan kita boleh sedia (jika PPSMI dilaksana).

“Ini kerana waktu ini belum ada guru dan sistem pengajaran juga (perlu) ditukar kerana kita tak guna sistem lama. Akan guna sistem baharu yang pembelajarannya disediakan pakar dan guru yang boleh memimpin murid dan guru sendiri boleh belajar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri program Media Prima Medical Outreach di Masjid Nurul Islam, Kampung Sungai Itau, di sini hari ini.

Pada 6 Februari lalu, Dr Mahathir dilaporkan berkata, kerajaan belum membuat sebarang keputusan untuk pelaksanaan PPSMI di sekolah, namun sudah menubuhkan satu jawatankuasa kecil untuk meneliti perkara itu.

Dasar PPSMI diperkenalkan pada 2003 ketika Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri keempat, namun menimbulkan bantahan sebelum ia dimansuhkan pada 2012.

Kementerian Pendidikan kemudian memperkenalkan dasar Dual Language Program (DLP) pada 2016 yang memberi pilihan kepada sekolah menentukan sendiri jika ingin mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

Kelas DLP kini ada di hampir 1,300 sekolah rendah dan menengah membabitkan kira-kira 23,000 pelajar.
LihatTutupKomentar
Cancel