Pujut tidak diabaikan - Sebastian Ting

KUCHING: Penduduk Daerah Pujut akan terus dibantu meskipun pelucutan Adun Pujut, Dr. Ting Tiong Choon.

Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Sebastian Ting berkata, penduduk Pujut tidak perlu risau kerana mereka akan sentiasa dibantu walaupun berlainan latar belakang politik.

“Mereka akan sentiasa dialu-alukan meskipun berlainan latar belakang politik terutama sekali dalam perkara berkaitan pembangunan dan penambahbaikan di kawasan mereka.

"Itu adalah tugas sebagai seorang ketua,” katanya ketika disoal pemberita selepas menghadiri Majlis Pemeteraian Perjanjian di antara Petroleum Sarawak (PETROS) dan Petrolian Nasional Berhad (PETRONAS) di Hotel Hilton, semalam.

Mahkamah Persekutuan baru-baru ini, memutuskan bahawa Dun Sarawak membuat keputusan betul dalam melucutkan kelayakan Dr Ting Tiong Choon sebagai Adun Pujut berhubung statusnya memiliki dua kewarganegaraan.

Ia membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 7-2, dan memetik Perkara 19 Perlembagaan Sarawak dan Perkara 72 Perlembagaan Persekutuan, yang menetapkan bahawa DUN mempunyai kata putus dalam perkara seumpama itu dan prosiding DUN tidak boleh dipersoalkan di mana-mana mahkamah.

Ketua Hakim Negara, Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat mempengerusikan panel sembilan hakim.

Hakim lain ialah Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Rohana Yusuf; Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri David Wong Dak Wah dan hakim Mahkamah Persekutuan terdiri daripada Datuk Abdul Rahman Sebli, Datuk Mohd Zawawi Salleh, Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Ong Lam Kiat, Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Hasnah Mohammed Hashim.

Dr Ting dari DAP dilucutkan kelayakan sebagai ADUN pada 12 Mei, 2017, kerana memiliki dua kewarganegaraan iaitu Australia dan Malaysia susulan usul dibentangkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Dagang Sarawak pada ketika itu Datuk Seri Wong Soon Koh.
LihatTutupKomentar
Cancel