Pusat hiburan curi elektrik

MIRI: Sebuah pusat hiburan di Marina Square di sini dikesan mencuri elektrik dalam operasi pada Selasa lalu.

Modus operandi pusat hiburan berkenaan menggunakan pendawaian secara tersembunyi di siling, selepas pegawai operasi menemui kabel yang digunakan sepanjang tiga meter yang tersembunyi di dalam laluan siling premis.

Premis tiga tingkat dengan 22 bilik persendirian tersebut didapati secara tidak sah mencuri elektrik dari pendawaian papan pengagihan bekalan elektrik.

Sarawak Energy dalam kenyataan berkata, operasi diketuai Unit Pemeriksa Elektrik (EIU) Kementerian Utiliti, pasukan pemeriksaan meter Sarawak Energy dan pihak Polis.

Pemeriksaan telah dilakukan oleh pasukan teknikal dari utiliti Sarawak Energy, Syarikat SESCO Berhad (SESCO), yang terlatih dalam mengesan kecurian elektrik setelah menerima aduan dari orang awam dan mendapati bacaan penggunaan tenaga elektirik yang mencurigakan.

Beliau berkata, semua meter dan kabel yang dirampas telah disita sebagai bukti dan laporan polis dibuat terhadap pemilik pusat hiburan berkenaan.

 "Meter mencatatkan penggunaan kuasa yang lebih rendah daripada penggunaan sebenar operasi perniagaan pada hari kebiasaan," katanya.

Beliau berkata, berdasarakan bil bulanan mencatatkan antara julat RM1,500 hingga RM1,800 sebulan dan ia satu jumlah yang tidak realistik.

EIU dan Peguam Negara (SAG) juga akan memulakan tindakan undang-undang terhadap pemilik premis kerana mencuri elektrik seperti mana yang termaktub di bawah Seksyen 33 (5) Ordinan Elektrik.

" Sarawak Energy diberi mandat untuk mendapatkan tunggakan atau anggaran jumlah belum dibayar dari pengesanan kecurian oleh pemegang akaun. 

"Kecurian kuasa adalah jenayah yang membawa hukuman denda RM100,000 dan /atau lima tahun penjara jika didapati bersalah.

"Ia juga merupakan perbuatan berbahaya yang membahayakan nyawa dan merosakkan hartanah pelanggan termasuk peralatan elektrik yang boleh menyebabkan kebakaran,'' katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan terus menjalankan pemeriksaan meter dan operasi di seluruh Sarawak bersama-sama dengan Kementerian Utiliti dan polis pada masa akan datang.
LihatTutupKomentar
Cancel