Rakyat mangsa politik - staf LBU yang dipecat
Oleh Wan Noor Hayati Wan Alias
Harapkan panas sampai ke petang tetapi hujan pula di tengah hari.
Demikian kisah seorang wanita dari Semenanjung yang terpaksa meninggalkan keluarganya di Kuala Lumpur pada Mei 2017 demi mencari rezeki di Sarawak yang jaraknya hampir 1,000 kilometer.
Satu keputusan besar bersama segunung impian semetalah yang menawarkan peluang pekerjaan itu adalah satu syarikat besar, Lebuhraya Borneo Utara Sdn Bhd (LBU).
Hazrin Md Hairi, 42, diberi kontrak sebagai jurutera kualiti atau QAQC menerusi program Rakan Pelaksana Projek (PDP) sehingga projek dijangka selesai pada 2021.
Bagaimanapun, dia tidak menyangka sama sekali periuk nasinya di LBU berakhir lebih awal tatkala kerja masih banyak belum disiapkan.
Sedih hatinya apabila menerima notis pemberhentian tiga bulan pada November lalu yang kini sudah di penghujung.
Katanya, pihak pengurusan syarikat sebelum ini iaitu sejak September lalu ada memaklumkan desas desus kontrak LBU akan ditamatkan tetapi mereka masih berusaha berunding.
"Ketika itu, saya masih berharap kami akan diserapkan ke Jabatan Kerja Raya, namun dipercayai atas desakan politik kerana kontrak LBU daripada kerajaan terdahulu, pemecatan tetap berlaku.
"Kami pekerja biasa, rakyat biasa yang membayar cukai, pengundi berdaftar bukan ahli politik tetapi kami kehilangan hak untuk bekerja semua atas nama politik, tidak adil kerana kami dijadikan mangsa politik.
"Situasi ini amat memilukan apabila kuasa politik mengatasi segala-galanya, apa kan daya kami terpaksa redha dengan ketetapan Allah.
"Bayangkan daripada 28 staf menjaga kualiti projek kini tinggal dua staf sahaja dari JKR, agaknya apa kualiti yang dapat nanti," katanya kepada Sarawak Update.
Terdahulu, sumber LBU memberitahu Borneo Post bahawa 500 pekerja yang sebahagian besarnya Sarawak diberhentikan kerja secara berperingkat berkuat kuasa mula esok.
Sumber itu mendedahkan, hanya segelintir di bahagian kewangan, teknologi maklumat yang akan meneruskan kerja sehingga Mei nanti.
Antara pekerja yang terbabit dengan pemberhentian ini adalah mereka yang bekerja di sektor pembinaan dan pengkeranian, membabitkan 25 tapak binaan dan ibu pejabat.
Media sebelum ini, penamatan perjanjian PDP bagi projek lebuhraya Pan Borneo Sarawak akan berkuat kuasa pada 20 Februari ini.
Susulan penamatan khidmat PDP, kerajaan akan meneruskan projek lebuh raya terbabit mengikut pendekatan konvensional.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, dilaporkan berkata menerusi penamatan perjanjian PDP ini, kerajaan dapat mengurangkan kos perbelanjaan projek ini daripada RM21.857 bilion kepada RM18.846 bilion, penjimatan
Tambah Hazrin, lebih mengejutkan pekerja yang diberhentikan tidak menerima sebarang pampasan dan bakal bersaing dengan 500 pekerja yang diberhentikan kerja secara serentak.
"Kira-kira 90 peratus daripada 500 pekerja belum menerima peluang kerja, dan saya terpaksa bermula semula bersaing dengan graduan yang ditawarkan gaji lebih rendah.
"Masalahnya, pada usia begini saya ada komitmen sendiri kepada diri dan keluarga, ia bukan mudah tatkala sejuta peluang kerja dijanjikan kerajaan belum tentu boleh membantu saya dalam menyara kos sara hidup yang kian meninggi.
"Saya dan staf lain amat berharap kerajaan boleh memindahkan LBU ini ke syarikat lain sebagaimana dibuat Tabung Haji Hotel, di mana staf diserap ke program lain seperti Project Management Construction dan lain-lain jika tidak mahu konsep PDP," katanya.
Hazrin memutuskan untuk pulang semula ke Semenanjung bagi meneruskan hidupnya.