RM500 juta naik taraf ban Asajaya, Karim


KUCHING : Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa kawasan paling banyak mempunyai jaringan ban di Sarawak ialah Samarahan dan Asajaya.


Daerah tanah pamah diliputi hutan bakau ini memerlukan banyak ban bagi melancarkan sistem pengairan agar sesuai dijadikan kawasan kediaman dan pertanian.


Bagaimanapun, setelah sekian lama ban-ban dibina sekitar tahun 70-an dan 80-an ini banyak yang uzur dan perlu segera dinaik taraf bagi mengelak masalah mendapan tanah dan menjejaskan sistem pengairan.


Kepada penduduk di dua daerah ini, usah bimbang kerana kerajaan negeri sudah meluluskan peruntukan RM500 juta khas untuk menaik taraf ban bagi tahun ini dan tahun hadapan.


Khabar gembira itu diumumkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya merangkap Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Rahman Karim Hamzah.   


“Untuk tahun ini dan tahun hadapan RM500 juta akan digunakan khas untuk menaik taraf ban-ban. Kawasan samarahan, Asajaya tu kalau kita lihat paling banyak jaringan ban dibina di negeri Sarawak.

“Ban-ban ini dibuat dalam ta

hun 70-an, 80-an dan pada masa ini ia sudah mendap, bila ia mendap air sudah masuk jadi sekarang kita nak pertingkatkan, naik tarafkan termasuk dengan jalan-jalan baharu, `networking’”, ujarnya ketika ditemui di pejabatnya di sini baru-baru ini.

Selain projek naik taraf ban, beliau berkata,  Kampung Tambirat mempunyai kepadatan penduduk tertinggi di Asajaya, turut menerima peruntukan RM21 juta bagi Projek Penambatan Hakisan, pembinaan `waterfont’ dan astaka.

Tambahnya, sebanyak RM8 juta lagi diperuntukan bagi menaik taraf pasar Tambirat sebagai tarikan pelawat pada hujung minggu.



 “Kampung tambirat pada masa ini kita sedang nak membuat  penambatan kerana ada berlaku banyak hakisan sungai menyebabkan rumah penduduk jatuh ke sungai dalam tempoh 10 tahun yang lepas. Jadi, kita akan membuat tambakan untuk mengatasinya dan sudah ada peruntukan diluluskan” jelasnya.

Dalam pada itu, turut mendapat khabar gembira ialah penduduk Kampung sambir apabila kerajaan negeri meluluskan projek pelaksanaan dasar baharu Skim Pembesaran Kampung.



Menurut Abdul Rahman Karim, skim kali ini lebih menarik kerana semua kemudahan asas dibina di tapak pembesaran kampung seperti jalan raya dan tebus guna tanah lot rumah ditanggung oleh kerajaan negeri. 

Katanya, Skim Pembesaran Kampung merupakan projek di bawah Samarahan Regional Development Agency (IRSDA) yang menelan kos RM1.5 bilion.


Menarik mengenai Asajaya :-


  1. Merupakan bandar kecil terletak dalam bahagian Samarahan dengan penduduk terdiri daripada Melayu, Cina dan Iban.

  2. Asajaya dulunya dikenali dengan nama Nonok mula diwujudkan pada 1 Oktober 1970.

  3. Nonok mulanya diletakkan  di bawah pentadbiran daerah Kuching dari tahun 1970 sebelum diambil alih daerah Samarahan pada tahun 1993.

  4. Nama Nonok ditukarkan kepada Asajaya secara rasmi setelah ia dinaikkan taraf dari daerah kecil kepada daerah penuh pada 31 Disember 1999.

  5. Dulu Nonok hanya boleh dihubungi dengan bot atau perahu merentasi Laut China Selatan dengan deruman ombak yang kuat melanda beting Sebandi.

  6. Sektor pertanian merupakan ekonomi utama sehingga Asajaya dikenali sebagai Taman Kekal Pengeluaran Makanan. 

LihatTutupKomentar
Cancel