Rugi RM255,000 ditipu Macau Scam


KEPALA BATAS, 24 Feb -- Seorang wanita warga emas kerugian RM255,000 selepas ditipu sindiket 'Phone Scam' yang mendakwa suri rumah itu terlibat dengan kes pengubahan wang haram baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata suri rumah berusia 76 tahun itu mendakwa menerima panggilan telefon daripada seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dari Kontinjen Polis Kuala Lumpur dan memaklumkannya terlibat dalam kes pengubahan wang haram.

"Warga emas itu menafikan terlibat dalam kes itu atau apa-apa jenayah sebelum panggilan telefon berkenaan disambungkan kepada seorang lelaki yang mengaku sebagai pegawai polis di Bukit Aman yang kemudiannya meminta mangsa memindahkan semua wang dalam akaun miliknya bagi tujuan siasatan.

"Suspek turut mengugut suri rumah itu jika mangsa gagal memindahkan wang yang berada dalam akaunnya, ia akan dibekukan dan wanita itu juga akan ditangkap untuk pendakwaan kes pengubahan wang haram," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata berikutan takut ditangkap dan wang dalam akaun miliknya dibeku, mangsa telah membuat 11 transaksi deposit wang RM255,000 ke sembilan akaun diberikan lelaki yang mengaku sebagai pegawai polis berkenaan bermula 13 Feb hingga 21 Feb lepas.

Noorzainy berkata warga emas itu tidak memberitahu perkara itu kepada sesiapa termasuk anak dan ahli keluarganya kerana suspek terlebih dahulu memberi amaran agar tidak berbuat demikian atas alasan akan mengganggu siasatan polis.

Katanya, mangsa hanya menyedari ditipu setelah pihak bank curiga dengan perbuatan warga emas itu yang membuat transaksi deposit dalam amaun yang besar ke beberapa akaun dan setelah disoal, pegawai bank mendapati wanita itu telah ditipu sindiket 'Phone Scam'.

"Mangsa pada mulanya tidak percaya dia ditipu dan bertindak menghubungi lelaki yang mengaku sebagai pegawai polis itu untuk mendapatkan penjelasan, namun dia gagal menghubunginya sebelum bertindak membuat laporan polis semalam," katanya kes itu disiasat menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan suspek terlibat dan pemilik-pemilik akaun yang digunakan sindiket itu untuk mangsa memindahkan wang ke dalam akaun mereka.

Beliau turut menasihatkan orang ramai jangan sesekali mudah panik dan mengikut arahan yang diberikan oleh pemanggil yang tidak dikenali, sebaliknya hubungi pihak polis atau organisasi yang terlibat untuk sebarang pengesahan.

-- Bernama
LihatTutupKomentar
Cancel