Sajat mempunyai sifat lembut - Mujahid


SHAH ALAM - Usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau Sajat tidak pernah insaf melakukan perbuatan yang dilaknat oleh ALLAH walaupun telah menerima teguran daripada pelbagai pihak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, teguran oleh masyarakat terhadap Sajat bukanlah perkara baharu, malah tindakan itu telah dilakukan sejak 2013.

"Sajat yang memperagakan pakaian dan aksi yang memalukan budaya serta norma dan aksi lembut melampau yang bertentangan dengan syariat serta penciptaan seorang lelaki telah ditegur masyarakat dan netizen sejak 2013 lagi.

"Namun, dia seolah-olah tidak pernah merasa insaf dan bersalah. Dia tidak pernah nak baiki diri malah semakin lagi galak yang menunjukkan dia tidak kisah semua ini dan tidak ada perkiraan langsung kepada sensitiviti masyarakat," katanya dipetik dalam akhbar Sinar Harian.

Mujahid berkata demikian dalam satu rakaman video yang dimuat naik di Facebook beliau yang kini sudah meraih 5,000 tontonan dan 236 tanda suka.

Dalam pada itu, Mujahid berkata, tidak dinafikan Sajat mempunyai sifat lembut yang merupakan pemberian ALLAH, namun ia bukan lesen kepadanya untuk mempamerkan dengan pelbagai bentuk dan gaya yang melanggar syariat.

"Usah kata lelaki atau perempuan memang tak boleh kerana isunya ialah dengan mempamerkan kata perlakuan tidak senonoh itu sendiri boleh menyebabkan isu moral, itu tak kira Sajat tak kira siapa.

"Kalau Sajat lagilah kerana menjadi tumpuan orang ramai dengan aksi-aksinya yang dipamerkan dan ditontonkan kepada orang awam mengundang kemarahan orang ramai," katanya.
LihatTutupKomentar
Cancel