Sarawak dikerjakan scammer, Najib Razak
Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyifatkan Sarawak sudah teruk dikerjakan scammer apabila tiada sebarang tindakan dibuat terhadap 1,454 sekolah usang negeri ini yang memerlukan pembaikan.
Kata beliau, Sarawak telah membayar sebanyak RM700 juta sejak Ogos tahun lalu dan sepatutnya membayar RM300 juta bagi melangsaikan hutang berjumlah RM1 bilion kepada kerajaan persekutuan.
Pembayaran tersebut adalah syarat yang dikenakan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng kepada Sarawak jika mahu sekolah-sekolah usang itu dibaiki.
"PH mungkir janji itu perkara biasa. Tak ada apa-apa yang hairan. Tapi kali ini, saya rasa Sarawak sudah teruk dikerjakan scammer.
"Dah bulan Februari 2020, namun tiada sebarang tindakan dibuat terhadap 1,454 sekolah usang Sarawak yang memerlukan pembaikan," kata Najib.
Menurut beliau, ketika menjadi Perdana Menteri dulu beliau telah meluluskan peruntukkan RM1 bilion dalam bajet 2018 untuk baiki sekolah daif di Sarawak.
Selepas memenangi PRU14, PH batalkan peruntukkan itu.
"Alasan diberi ialah cerita dongeng hutang RM1 trilion,"ujarnya.
Beliau berkata, kerajaan negeri terpaksa tunduk kepada kerajaan persekutuan jika mahu sekolah diperbaiki kerana sekolah adalah di bawah kuasa kerajaan pusat.
"Kerajaan Sarawak tak ada hak masuk ke sekolah untuk baiki sendiri,"terang beliau.
Sarawak merayu kerana keperluan membaiki sekolah-sekolah ini sangat mendesak dan PH bersetuju namun bersyarat.
Pada akhir 2018, kerajaan PH mengenakan syarat bahawa Sarawak kena bayar dahulu hutang RM1 bilion kepada kerajaan pusat yang belum sampai tempohnya.
"Wang RM700 juta sudah angkat, satu sekolah usang Sarawak pun tidak diperbaiki," kata Najib.
Menurut beliau lagi baki RM300 juta sepatutnya dibayar dalam tempoh tiga bulan akan datang tetapi Sarawak kata mereka dah tak mahu bayar.
“Sekiranya mereka tidak melakukannya, mengapa nak buat bayaran?” soal Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
"Sudah bayar, tapi projek baik pulih sekolah usang belum dilaksanakan. Pembulak!,"kata Abang Johari.