Anwar vs Azmin, siapa pemenangnya?

Oleh SAIFUL HAIZAN HASAM

'KERAS KEPALA' sungguh Azmin Ali. Ahad lalu, dia tanpa selindung menegaskan pendiriannya tidak berubah. Katanya, Dr. Mahathir Mohamad perlu habiskan tempoh lima tahun sebagai Perdana Menteri.

Tindak-tanduk ini bertentangan dengan aspirasi PKR yang kini menguatkan tekanan kepada Dr. Mahathir supaya memenuhi janji menyerah jawatan Perdana Menteri kepada Presiden mereka, Anwar Ibrahim.

Malang buat Anwar, bertimbalankan Azmin yang tidak menyokongnya untuk menjadi Perdana Menteri sebagaimana konsensus Pakatan Harapan. Sedangkan Azmin lah yang ditatang penuh oleh Anwar dalam mendaki hierarki politiknya.

Bukan sedikit pemimpin PKR yang 'makan hati' dengan keistimewaan yang diperoleh Azmin. Sudah ramai pejuang awal PKR membawa diri kerana kecewa diketepikan Anwar yang memberi laluan khas kepada Azmin.

Jika di dalam PAS, orang seperti Azmin dilabel sebagai tidak wala' kepada kepimpinan dan biasanya 'dihalau' daripada parti. 

Najib Tun Razak sewaktu bergelar Perdana Menteri dan Presiden UMNO pun tidak teragak-agak menyingkirkan timbalannya, Muhyiddin Yassin kerana berbeza pendapat dalam isu 1MDB dan SRC. 

Tetapi tidak bagi Anwar. Dia tiada keberanian untuk bertindak seradikal itu terhadap Azmin walaupun banyak tindak-tanduk anak emasnya itu kini seperti lawan tauke.

Bukannya tiada desakan supaya Azmin disingkir daripada parti tetapi bekas Menteri Besar Selangor itu kebal. Setakat ini, hanya konco-konco Azmin seperti Naib Presiden PKR, Zuraida Kamarudin dikenakan tindakan. 

Zuraida dipanggil menghadap lembaga disiplin kerana mengkritik Anwar dalam majlis makan malam tajaan Azmin selepas kongres parti itu hujung tahun lalu. 

Dalam majlis itu, Azmin berucap berapi-api termasuk berkias menyindir dia sudah lawan ramai anak Ibrahim (merujuk kepada Khalid Ibrahim dan Zaid Ibrahim) dan tidak pernah kalah.

Tiada tindakan terhadap Azmin adalah indikator betapa perpecahan dalam PKR sudah terlalu parah dan dia juga sudah berjaya membina pengaruh yang kuat sehingga timbul istilah 'kartel'. 

Sebagaimana Anwar yang tidak kecundang diserang dengan skandal video seks 'China doll' pada 2011, Azmin juga tidak rebah walaupun tersebar video aksi jijik homoseksual yang pelakunya seiras benar dengan wajahnya.

Dengan kata lain, kedua-duanya sama handal berpencak silat dalam gelanggang politik. Anwar sendiri sedar apa jua tindakan radikal terhadap Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu boleh menyebabkan dia terus memegang gelaran calon bakal Perdana Menteri buat selama-lamanya.

Hal ini kerana Azmin mempunyai hubungan yang baik dengan pemimpin pembangkang dan berupaya mengumpul sokongan kepada Dr. Mahathir jika soal peralihan kuasa dibawa ke Dewan Rakyat.

Nama Azmin disebut-sebut sebagai perantara Dr. Mahathir dan Ahli Parlimen BN selain dikatakan mengatur pertemuan antara Perdana Menteri dengan Presiden PAS dan Menteri Besar Terengganu di London, baru-baru ini. 

Lebih digeruni, tindakan terhadap Azmin berpotensi menghancurkan PKR itu sendiri. Tambahan pula, Azmin mempunyai kelebihan politik apabila dilihat mendapat naungan Dr. Mahathir. 

Penyertaan Azmin dalam Kabinet Dr. Mahathir itu sendiri mengejutkan kerana sewaktu pelantikan dibuat, dia telah pun mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor.

Maka tidaklah pelik apabila golongan yang tidak sehaluan dengan Azmin menganggap dia dipergunakan Dr. Mahathir untuk menghalang kemaraan Anwar.

Anggapan sedemikian ada meritnya kerana pertelingkahan dalaman PKR semakin memuncak apabila mendekati tempoh genap dua tahun pemerintahan Pakatan Harapan yang bermakna Dr. Mahathir mesti menunaikan janji menyerah jawatan kepada Anwar.  

Jika benar Azmin dipergunakan, itulah kehebatan Dr. Mahathir. Walaupun ditroll dengan panggilan Atok atau nyanyuk oleh netizen, cengkaman politiknya masih berbisa dan mampu melemahkan parti pesaing dari luar.

Bukankah soal peralihan kuasa turut menggoncang kestabilan UMNO ekoran cadangan pembentukan gabungan baharu Pakatan Nasional yang turut merangkumi PAS dan UMNO.

Di pihak Azmin pula, dia boleh mengemukakan seribu macam hujah untuk menghalalkan sokongan kepada Dr. Mahathir. Namun rakyatpun sudah lali dengan alasan-alasan murni orang politik.

Azmin boleh memberikan alasan pendiriannya adalah demi kestabilan negara dan ekonomi atau demi bangsa dan agama tetapi hakikatnya tindakan mana-mana orang politik tidak dapat lari daripada kepentingan dan cita-cita peribadi.

Azmin juga tidak terkecuali, dia pun ada ada cita-cita politiknya. Cuma hasrat itu cacat selepas pendedahan rakaman aksi seks songsang yang dikaitkan dengannya. 

Jika bukan kerana video yang dirakam di sebuah hotel di Sandakan itu, bintang politik Azmin pasti lebih bersinar. 

Memang Anwar juga tidak menekan Dr. Mahathir secara terang-terangan tetapi desakan berterusan daripada kelompok tertentu dalam Pakatan Harapan pasti tidak sukar untuk diteka digerakkan oleh kem siapa.

Pastinya mereka resah kerana Perdana Menteri paling tua di dunia itu sudah banyak kali mengubah tarikh peralihan kuasanya dengan yang terakhir, Dr. Mahathir berjanji melepaskan jawatan selepas Sidang Kemuncak APEC hujung tahun ini. 

Barangkali kerana mahu memilih jalan selamat, Anwar dilaporkan cenderung bersetuju dengan tarikh itu.

Jika Majlis Presiden Pakatan Harapan yang bersidang Jumaat ini memuktamadkan tarikh peralihan kuasa selepas Sidang Kemuncak APEC sekalipun, belum tentu segalanya berjalan dengan baik kerana tarikh itu masih jauh.

Mereka bolehlah terus meratib soal janji Dr. Mahathir dan rakyat pun tidak pernah lupa bagaimana Pakatan Harapan memungkiri janji manis dalam PRU lalu sehingga Perdana Menteri menyatakan manifesto bukanlah kitab suci.

Kita tengoklah siapa yang kena!  

--------------------------------

*SAIFUL HAIZAN HASAM merupakan bekas Editor di sebuah akhbar nasional yang pernah memenangi dua Anugerah Kewartawanan Kenyalang Shell 2013 bagi kategori Laporan Berita Terbaik dan Laporan Alam Sekitar Terbaik.
LihatTutupKomentar
Cancel