Sarawak eksport petroleum dan LNG bernilai RM50.5 bilion pada 2017.
KUCHING, 1 Feb: Sarawak telah mengeksport petroleum mentah dan gas asli cecair (LNG) keseluruhannya berjumlah RM50.5 bilion pada 2017.
Menteri Muda Undang-undang, Hubungan Negeri Persekutuan dan Pemantauan Projek, Syarifah Hasidah Syeed Aman Ghazali berkata ini berdasarkan Jabatan Statistik Malaysia dengan eksport pengeluaran LNG Sarawak mencecah 27 juta metrik tan dan berjumlah RM41.1 bilion pada 2017.
"Keseluruhan petroleum mentah dieksport dari Sarawak pada 2017 berjumlah 3,353,000 metrik tan dan bernilai RM9.4 billion," katanya ketika merasmikan acara perkongsian mengenai sejarah minyak dan gas Sarawak "Fight For Our Right, Fight It Right" anjuran Suarah Petroleum Group di Pustaka Negeri Sarawak, Petra Jaya, di sini, hari ini.
Sharifah berkata pada 2017, jumlah pengeluaran gas ialah 4, 123 juta kaki kubik piawai atau bersamaan 680,000 tong minyak sehari manakala jumlah pengeluaran minyak pula sebanyak 173,000 tong sehari.
Manakala sehingga Disember 2017 terdapat 41 Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) di 41 blok PSC ditemui di luar persisir Miri dan Bintulu.
"Dari 1976 hingga 2017, jumlah pendapatan ( minyak dan gas Sarawak) mencecah RM660 bilion, tetapi hanya RM33 bilion di berikan kepada kita (Sarawak),"katanya.
Beliau berkata juruperunding minyak dan gas terkemuka dunia, Arthur D Little melaporkan dari 2005 hingga 2015, Sarawak menyumbangkan 60 hingga 65 peratus pengeluaran gas negara ini dan 30 peratus kepada pengeluaran minyak negara.
Sehubungan itu, Sharifah menjelaskan Cukai Jualan 5 peratus dikenakan kerajaan Sarawak ke atas produk petroleum negeri ini adalah adil dan bukan sewenang-wenangnya dikenakan bagi menindas syarikat minyak dan gas yang beroperasi di Sarawak.
" Walaupun dikenakan kadar 5 peratus cukai jualan dan lima peratus pembayaran tunai loyalti minyak kepada Sarawak, setiap kontraktor Petronas dan kerajaan pusat masih mengekalkan pemilikan 90 peratus nilai jualan petroleum yang dijumpai dan dihasilkan mereka di Sarawak,"katanya.
Sehubungan itu, pihaknya percaya cukai jualan 5 peratus terbabit sekiranya dibayar Petronas kepada Sarawak tidak akan memberikan kesan terhadap kedudukan kewangan dan juga prestasinya.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut berikutan keengganan Petronas membayar cukai terbabit kepada Sarawak ketika ini perkara itu sedang dibicarakan di mahkamah.
TAMAT
keterangan gambar:
1.Syarifah Hasidah Syeed Aman Ghazali ketika merasmikan perkongsian mengenai sejarah minyak dan gas Sarawak "Fight For Our Right, Fight It Right" anjuran Suarah Petroleum Group di Pustaka Negeri Sarawak, Petra Jaya, di sini, hari ini.