Saspek kes bunuh dibawa ke mahkamah
KUCHING: Saspek kes bunuh di kaki lima sebuah kedai di Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Fasa 2, Batu Kawa, dibawa ke mahkamah jam 9.30 pagi tadi.
Ketua Polis Padawan, Superintendan Aidil semalam memberitahu media suspek ditangkap jam 10.29 pagi di Lorong 2C2, Taman Everbright Batu Kawa.
"Anggota polis yang sedang membuat rondaan di sekitar Jalan Arang telah menerima maklumat dari Bilik Gerakan IPD Padawan memaklumkan ada sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan di taman tersebut," katanya.
Katanya, dengan penangkapan suspek pihak polis percaya kes itu sudah dapat diselesaikan.
Dalam kejadian pada jam 3.48 pagi,semalam, Abang Hisalihin Bahthika, berusia 37 tahun ditemui mati dengan kesan tikaman di rusuk kiri akibat ditikam suspek berusia 25 tahun.
Punca kejadian difahamkan kerana saspek marah kepada mangsa kerana pernah memecahkan keretanya.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan sebagai kes bunuh.