Lelaki tembak mati bekas isteri di pusat beli-belah Bangkok
BANGKOK, 18 Feb -- Seorang lelaki menembak mati bekas isterinya dan mencederakan seorang lagi di sebuah pusat beli-belah di sini hari ini.
Dalam kejadian pada 3.15 petang (waktu tempatan), lelaki bersenjata itu menyerbu klinik kecantikan di Century The Movie Plaza berhampiran Victory Monument di Daerah Ratchadewi dan melepaskan sekurang-kurangnya tujuh tembakan ke arah bekas isterinya yang berusia 28 tahun.
Seorang wanita berusia 31 tahun di klinik itu mengalami kecederaan dan dihantar ke hospital.
Lelaki bersenjata itu masih bebas.
Pesuruhjaya Biro Polis Metropolitan Left Jen Pakkapong Pongpetra berkata lelaki bersenjata itu dan mangsa berkahwin selama 10 tahun dan mempunyai seorang anak dan mereka baru sahaja berpisah 13 Feb lepas.
“Motifnya adalah masalah peribadi dan cemburu,” katanya kepada pemberita selepas melawat tempat kejadian hari ini.
Pada 8 Feb lepas dalam insiden tembakan rambang, yang dilepaskan seorang anggota tentera yang mengamuk di Nakhon Ratchasima, dikenali sebagai Sarjan Mejar Jakrapanth Thomma, 32, telah membunuh 29 orang termasuk polis dan pegawai tentera dan mencederakan 58 yang lain di Terminal 21 Shopping Mall di pusat bandar itu.
Dia ditembak mati oleh pasukan keselamatan selepas lebih 12 jam bersembunyi di pusat beli-belah itu.
-- Bernama