Sekolah daif di Sarawak bila mahu selesai?


APALAH malang nasib murid-murid yang masih terpaksa belajar di bangunan usang terdapat di sekolah-sekolah daif di seluruh Sarawak.

Bukan tiada insiatif diambil oleh kerajaan Sarawak untuk menyelesaikan masalah ini, malah janji untuk membayar RM1 bilion dalam tiga jumlah bayaran kepada kerajaan Persekutuan untuk menaik taraf sekolah-sekolah daif sudah pun ditepati.

Menurut Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Dato Sri Michael Manyin Jawong, bayaran pertama berjumlah RM350 juta telah dibayar pada Ogos 2019 dan akan digunakan untuk membina semula atau menaik taraf 37 sekolah daif.

Bagaimanapun, disebabkan kegagalan Kementerian Kewangan (MoF) melantik pelaksana projek telah melambatkan projek pembinaan semula dan menaik taraf sekolah daif di Sarawak, walaupun sejumlah RM700 juta telah dibayar dalam dua bayaran lebih lima bulan lalu.

Kecewa dengan apa berlaku, Manyin mahu semua pihak menghormati setiap keputusan terdahulu yang dibuat antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan.
Harapan beliau agar Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dapat dilantik sebagai agensi pelaksana dan semua tender akan dilakukan melalui Lembaga Tender Persekutuan di Sarawak.

Beliau percaya, hanya kontraktor berpangkalan di Sarawak yang diberikan pekerjaan ini dapat membantu mempercepatkan proses baik pulih dan mengurangkan penderitaan yang dihadapi oleh pelajar dan guru di sekolah daif ini.

Pandangan Manyin disokong oleh bekas Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadilah Yusof yang bersetuju kerajaan negeri sepatutnya diberi keutamaan untuk memilih sekolah mana sepatutnya dibina dahulu.

 “Berilah keutamaan kepada kerajaan negeri untuk memilih apakah keutamaan sekolah yang patut dibina dulu sebab di peringkat negeri lebih mengetahui tapi daripada segi pelaksanaan bolehlah diproses tender ke apa ke boleh dilaksanakan melalui jawatankuasa bersama,” katanya dalam temuramah bersama Gagodaily di Pejabat Ahli Parlimen Petra Jaya di Kuching baru-baru ini.
Fadilah merupakan Ahli Parlimen Petra Jaya dan juga Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) turut menyarankan agar ditubuhkan satu Jawatankuasa Bersama dianggotai kerajaan Persekutuan dan negeri khusus untuk menyelesaikan isu sekolah daif.

 “Saya kira kira lebih baik kita diserahkan untuk dilaksanakan oleh kerajaan Sarawak melalui JKR Sarawak dan dipantau oleh Jawatankuasa Bersama Persekutuan dan Kerajaan Negeri untuk memastikan kelancaran dan keberkesanan pelaksanaan projek tersebut, saya kira itu pendekatan yang lebih sesuai,” jelasnya mengenai cadangan tujuan penubuhan jawatankuasa tersebut.

Dalam pada itu, beliau turut kesal dengan tindakan kerajaan Persekutuan di bawah Pakatan Harapan membatalkan peruntukan RM500 juta daripada RM1 bilion yang diluluskan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini kerana telah melambatkan proses menaik taraf sekolah daif di Sarawak ketika ini.
Fadilah yang bertanggungjawab memperkenalkan penggunaan kaedah sistem binaan berindustri (IBS) untuk sekolah daif turut bersetuju jika pendekatan menaik taraf sekolah usang ini dipelbagaikan termasuk kembali menggunakan kaedah konvensional.

 “Saya sedar bahawa di Sarawak ada tempat yang mungkin tidak sesuai untuk IBS terutama kawasan-kawasan yang begitu jauh dari bandar dan mempunyai permasalahan daripada segi logistik untuk membawa peralatan dan perkakasan IBS,” katanya.
Untuk rekod, walaupun Jabatan Pendidikan Negeri dan JKR Sarawak telah memuktamadkan senarai sekolah dan skop kerja serta bersedia untuk mengendalikan projek sekolah daif, namun campur tangan daripada MoF yang hendak membuat kajian termasuk terhadap senarai sekolah didakwa telah melambatkan proses tender.

Menurut laporan terdahulu, terdapat 1,020 sekolah usang di Sarawak dan 415 daripadanya berada dalam keadaan daif.

Di bawah perjanjian dengan MoF, kerajaan Sarawak membuat bayaran ketiga dan terakhir pembayaran balik kontra berjumlah RM300 juta pada Jun tahun ini.

LihatTutupKomentar
Cancel