Senyuman rahsia bertahan 112 tahun


SEORANG lelaki di Jepun yang percaya dengan kuasa senyuman, diiktiraf Guinness World Records sebagai lelaki tertua dunia pada usia 112 tahun.

Gulf News melaporkan Chitetsu Watanabe yang dilahirkan di Niigata utara Jepun pada 1907 menerima sijil pengiktirafan itu pada Rabu lalu, di sebuah pusat jagaan di bandar itu.

Berkongsi mengenai rahsia usia panjang, Watanabe menasihatkan jangan cepat marah dan sentiasa tersenyum.

Kenyataan Guinness World Records memaklumkan, sejak beberapa dekad lalu, Watanabe bergiat aktif dalam seni tradisional Jepun menghasilkan bonsai, dengan memahat arca pohon kecil.

Kini, lelaki itu meminati pemanis mulut seperti kastard dan cream puff.

Watanabe adalah graduan dari Sekolah Pertanian dilaporkan berpindah ke Taiwan dan bekerja di Dai-Nippon Meiji Sugar dalam kontrak perladangan tebu.

Dia menetap di Taiwan selama 18 tahun dan mempunyai lima anak hasil perkongsian hidup dengan Mitsue.

Selepas Perang Dunia Kedua berakhir, Watanabe pulang ke Niigata dan bekerja sebagai pegawai kerajaan sehingga bersara.

Dia juga mengerjakan ladang keluarga dengan menanam buah-buahan dan sayuran.

Rekod sebelum ini dipegang seorang lagi rakyat Jepun, Masazo Nonaka yang meninggal dunia bulan lalu.

Sementara itu, rekod manusia tertua dunia yang masih hidup turut dipegang rakyat Jepun, Kane Tanaka kini berusia 117 tahun.
LihatTutupKomentar
Cancel