Seorang lagi positif koronavirus, jadikan jumlah keseluruhan 16 kes - Dr Wan Azizah


PUTRAJAYA, 8 Feb -- Seorang wanita warga China dari Wuhan disahkan individu terbaharu positif kluster Novel Koronavirus 2019 (2019-nCoV), menjadikan angka keseluruhan jangkitan dalam negara kini berjumlah 16 kes.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata pelancong berumur 67 tahun itu merupakan ibu kepada kawan wanita yang disahkan positif koronavirus pada 6 Feb lepas. 
"Mengambil kira kes terbaharu ini adalah kontak rapat kepada kes berkenaan, beliau telah diarahkan untuk tidak ke mana-mana bagi menjalani Perintah Pengawasan dan Pemantauan. 

"Selepas ujian pengesanan dan pengesahan dibuat dan dilaporkan positif pada 7 Feb, wanita itu telah dimasukkan ke wad isolasi di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan berada dalam keadaan stabil," katanya pada sidang media mengenai perkembangan terkini koronavirus di sini hari ini. 
Beliau berkata ini menjadikan jumlah individu yang disahkan positif koronavirus di Malaysia adalah sebanyak 16 orang, yang terdiri daripada 12 warga China dan empat tempatan. 

Dalam pada itu, Dr Wan Azizah berkata seorang lelaki warga China yang disahkan positif koronavirus pada 25 Jan lepas dijangka dibenarkan pulang dalam masa terdekat. 
Beliau berkata lelaki yang dirawat di Hospital Permai, Johor yang mempunyai jangkitan radang paru-paru itu sedang menunggu keputusan ujian ulangan ketiga, selepas ujian pertama dan kedua disahkan negatif. 

Timbalan Perdana Menteri berkata lelaki itu telah menerima rawatan ubat antiretroviral, ubat yang digunakan untuk merawat pesakit yang dijangkiti oleh Human Immunodeficiency Virus (HIV). 

“Kes didapati memberi respons yang baik kepada ubat dan beliau akan dibenarkan pulang selepas keputusan ujian ulangan ketiga diperoleh dalam masa terdekat,” katanya. 

Dr Wan Azizah berkata enam kes iaitu kes pertama, ketiga, kelima, ketujuh, kelapan dan kesepuluh telah menjalani ujian ulangan pertama pengesahan jangkitan Koronavirus dan didapati negatif. 

Katanya empat kes lagi iaitu ke kedua, ke-14, ke-15 dan ke-16 masih dirawat di wad sehingga ujian ulangan adalah negatif sebanyak dua kali, dan semua individu terbabit berada dalam keadaan stabil. 

Timbalan Perdana Menteri berkata daripada 12 kes yang melibatkan warganegara China, empat daripadanya iaitu kes pertama, kedua, ketiga dan kelima adalah ahli keluarga kepada kes positif pertama di Singapura dan kesemua mereka kini sedang dirawat di Hospital Sungai Buloh. 

Dr Wan Azizah berkata tiga daripada kes itu, iaitu kes pertama, ketiga dan kelima telah menjalani ujian ulangan pertama pengesanan jangkitan koronavirus dan disahkan negatif, manakala kes kedua melibatkan kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh masih dirawat sehingga ujian ulangan negatif diperolehi. 

“Bagi empat warganegara Malaysia yang dikesan positif jangkitan koronavirus, ujian ulangan akan dilakukan dalam tempoh terdekat,” katanya. 
-- Bernama
LihatTutupKomentar
Cancel