Stesen pengisian Hidrogen selamat, Dr Jerip

KUCHING, 8 Feb: Orang ramai di bandar raya ini diminta tidak bimbang terhadap pembinaan dua stesen minyak pengisian bersepadu di bandar raya iaitu di Batu Kawah dan Darul Hana bagi kenderaan mengisi bahan api hidrogen selain minyak dan diesel serta mengecas kenderaan elektrik .

Menteri Muda Pengangkutan, Datuk Dr Jerip Susil berkata ini kerana pihaknya sudah melihat pelbagai penyelidikan saintifik dijalankan  universiti dan sebagainya mengenai  pengunaan teknologi kenderaan  bahan api hidrogen yang sebenarnya  cukup selamat dan tidaklah mudah terbakar atau  meletup seperti dikhuatiri mereka.

"Memang hidrogen gas yang amat mudah terbakar, tetapi gas terbabit juga amat ringan dan kalau ada kebocoran gas terbabit akan  terlepas sangat cepat ke udara dan peluang gas terbabit terbakar dan meletup sangat kurang sekali," katanya selepas merasmikan Kursus Urutan Terapi Qun di Hotel Penview, Pending, di sini, hari ini.
Dr Jerip berkata demikian  mengulas mengenai segelintir  orang ramai di laman sosial yang meluahkan rasa bimbang mereka terhadap pembinaan stesen terbabit akan mudah terbakar dan meletup kerana menyimpan  bahan api hidrogen. 

Ini selepas, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan,  Dato Sri Dr Sim Kui Hian baharu-baharu ini menyatakan yang dua stesen minyak pengisian bersepadu terbabit yang akan dinamakan Petros (Petroleum Sarawak Bhd)  akan mula dibina tahun ini.

Jerip berkata pihaknya sudah meminta Sarawak Energy Berhad (SEB) memastikan stesen terbabit cukup selamat digunakan serta melantik satu syarikat berpengalaman dalam bahan api hidrogen bagi menguruskan stesen terbabit.

"Sudah tentu stesen itu terbabit juga akan diselenggara dengan kerap. Jadi orang ramai tidak perlu khuatir dengan pembinaan stesen terbabit di bandar raya ini," katanya.

Dr Jerip berkata kenderaan mengunakan bahan api hidrogen malahan juga lebih selamat sekiranya berlaku kemalangan seperti bas hidrogen yang sudah digunakan di bandar raya ini.

Katanya ini kerana gas hidrogen terlepas dengan cepat sekiranya tangkinya yang terletak di atas bas terbabit  bocor dan  peluangnya bagi tangki terbakar dan meletup lebih rendah berbanding kenderaan mengunakan bahan api petrol.

"Malah bahan api hidrogen juga boleh dikitar semula dan sangat mesra alam sekitar.  Sekarang ini China akan beralih kembali kepada  teknologi bahan api hidrogen, selepas mereka  beralih kepada diesel dan elektrik,"katanya.

Selain itu, teknologi bahan api hidrogen terbabit juga sedang berkembang  pengunaannya di Jepun, Jerman, England dan Korea serta Sarawak kemungkinan menjadi yang pertama di rantau Asia Tenggara mengunakan teknologi terbabit.

keterangan gambar:

1.Datuk Dr Jerip Susil  (tengah) menerima baju cenderahati selepas merasmikan  Kursus Urutan Terapi Qun di Hotel Penview, Pending, di sini, hari ini.

2.Datuk Dr Jerip Susil  (tengah) bersama peserta Kursus Urutan Terapi Qun  selepas merasmikan kursus itu di Hotel Penview, Pending, di sini, hari ini.
LihatTutupKomentar
Cancel