Tayar pancit gagalkan cubaan curi lembu

KUANTAN, 8 Feb -- Cubaan mencuri tiga ekor lembu yang disumbat dalam sebuah kereta jenis Honda Odyssey gagal selepas dipercayai satu daripada tayar kenderaan itu pancit menyebabkan ia ditinggalkan berhampiran sebuah kilang kelapa sawit di Chini, Pekan dekat sini. 

Ketua Polis Daerah Pekan, Supt Mohd Razli Mohd Yusof berkata pemeriksaan terhadap kereta berwarna hitam itu pada 8.00 ini, menemukan tiga ekor lembu berhimpit di bahagian tempat duduk penumpang belakang kenderaan tersebut.

"Ternakan itu ditemukan dalam keadaan lemah dipercayai akibat dibius untuk memudahkan ia dimasukkan ke dalam kereta itu, yang dipercayai didaftarkan di negara jiran kerana tidak mempunyai nombor pendaftaran.

"Bagaimanapun, lembu itu telah diserahkan kepada pemiliknya, seorang warga emas berusia 65 tahun dari kawasan berhampiran. Pemiliknya dinasihatkan merujuk kepada pihak veterinar bagi rawatan ternakan itu, jika perlu," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Razli berkata kenderaan itu ditarik ke Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan untuk siasatan lanjut. 

-- Bernama
LihatTutupKomentar
Cancel