Suspek bakar bilal ditahan


ALOR SETAR: Tidak sampai enam jam bebas, lelaki 'naik gila' membakar bilal ditahan polis berhampiran lokasi kejadian di hadapan Masjid Al Hasanah, Taman Rakyat, Mergong hari ini.

Suspek mengaku melakukan perbuatan itu (membakar mangsa) dan dipercayai di bawah pengaruh dadah dan mengalami masalah mental.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Mohd Rozi Jidin, berkata suspek dipercayai bertindak sendirian ketika melakukan perbuatan itu.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati suspek tidak mengenali mangsa dan dia ditahan jam 1.30 tengah hari.

“Hasil ujian saringan air kencing terhadap suspek juga mendapati dia positif dadah jenis methaphetamine,” katanya hari ini,

ACP Mohd Rozi berkata, suspek juga dipercayai terbabit melakukan perbuatan khianat membakar peralatan masjid di Tok Keling, Alor Mengkudu tahun lalu.

Beliau berkata, soal siasat mendapati suspek mendakwa tidak suka dengan jemaah masjid kerana pernah memohon untuk mendapatkan bantuan tetapi ditolak.

“Disebabkan itu suspek dikatakan benci dengan jemaah masjid selain masalah mental dan dadah yang dialaminya.

“Tidak timbul isu perkauman dalam kes ini dan mangsa bukanlah sasaran suspek, namun disebabkan kemarahan suspek terhadap jemaah masjid, bilal itu menjadi mangsa,” katanya.

ACP Mohd Rozi berkata, setakat ini mangsa masih dirawat di Unit Rawatan Kebakaran, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) disebabkan melecur 25 peratus di muka, belakang, tangan dan kaki mangsa.

Katanya, pihaknya turut menemui bukti pakaian mangsa yang terbakar dan motosikal yang digunakan suspek berdasarkan kamera rakaman litar tertutup (CCTV) di masjid berkenaan.

“Kita akan mendapatkan tempoh tahanan reman terhadap suspek esok untuk membantu siasatan.

“Kita percaya suspek menggunakan petrol berdasarkan penemuan di lokasi kejadian,” katanya.

ACP Mohd Rozi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam kejadian kira kira jam 6 pagi tadi, mangsa, Amri Budin, 65, cedera parah apabila melecur beberapa bahagian badan akibat dibakar selepas disimbah minyak oleh individu tidak dikenali.

Amri melecur teruk di muka, tangan, dan badan sebelah kiri.

Sumber: RMP TV Channel dan Berita Harian Online
LihatTutupKomentar
Cancel