Syarat Rumah Spektra Permata diperluas
BAU: Syarat permohonan bagi Rumah Spektra Permata (RSP) yang diperkenal kerajaan Sarawak telah diperluaskan kepada pendapatan isi rumah bawah RM6,000 sebulan.
Menteri Muda Perumahan dan Kesihatan Awam Dr Annuar Rapa’ee berkata, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan Sarawak menerusi Perbadanan Pembangunan Sarawak (HDC) untuk menyediakan tapak atau lot-lot perumahan untuk miliki kediaman sendiri.
“Sebelum ini syarat membeli RSP adalah RM3,500 sebulan tetapi sekarang telah diperluaskan kepada mereka yang berpendapatan RM6,000 sebulan.
“HDC membina rumah di sesuatu kawasan berdasarkan kajian yang dibuat terhadap keperluan rumah oleh masyarakat setempat,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran RSP Daerah Bau, hari ini.
Di Bau, sebanyak 164 buah RSP akan dibina dan yang akan dijual awal adalah 50 unit rumah.