Syarikat terbaik Sarawak dijemput sertai anugerah cemerlang
KUCHING, 14 Feb: Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Wilayah Sarawak meminta syarikat terbaik Sarawak menyertai Anugerah Kecemerlangan Industri (AKI) 2020 bagi menonjolkan kehebatan mereka yang setanding syarikat di Semenanjung.
Pengarah MPC Wilayah Sarawak, Sarimah Misman berkata demikian dan berharap syarikat terbabit juga dapat merebut kategori utamanya iaitu Anugerah Perdana Menteri yang menawarkan hadiah RM500,000 dengan tarikh tutup penyertaan AKI 2020 ialah 30 April depan.
"AKI 2020 sebenarnya dianjurkan pihak Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri ( MITI), tapi kita (MPC Wilayah Sarawak) telahpun melatih syarikat (Sarawak) supaya dia orang faham untuk menjadi organisasi berjaya, apa kriteria yang dia orang perlu ada,"katanya selepas merasmikan Acara CEO Talk 2020 di sini, hari ini.
Sarimah berkata ini terutama 22 syarikat terbaik Sarawak yang telah menyertai Anugerah Kecemerlangan Industri Ketua Menteri (CMIEA) 2019 kerana mereka layak menyertai AKI 2020 berikutan kriteria syarikat yang dinilai bagi menentukan pemenangnya adalah sama.
"AKI 2020 adalah untuk seluruh syarikat di Malaysia dan tidak terhad kepada syarikat kecil dan sederhana (SME) dan syarikat besar pun boleh masuk (menyertainya) dan dia ada (pelbagai) kategorinya,"katanya.
Katanya tahun lepas dua syarikat Sarawak telah menyertai AKI 2019 tetapi keduanya tidak dapat menyertai kategori utama Anugerah Perdana Menteri dan setakat ini kategori itu belum pernah dimenangi syarikat dari negeri ini.
"Kita mahu syarikat Sarawak setanding syarikat di Semenanjung ( melalui AKI 2020) dan juga lebih menonjol. Saya mensasarkan sebanyak 10 syarikat Sarawak akan menyertai AKI 2020,"katanya.
Beliau juga berharap dari 10 syarikat itu, akan ada antara mereka terpilih merebut kategori utama Anugerah Perdana Menteri dan menonjolkan kehebatan syarikat Sarawak dengan tahun lepas antara 60 hingga 80 syarikat dselurruh negara ini telah menyertai AKI 2020.
Tamat
Keterangan gambar:
1.Pengarah MPC Wilayah Sarawak, Sarimah Misman.