Kuching tuan rumah 1st TAFISA Asian Sport For All Games pada 2022

KUCHING, 10 Feb: Sarawak berjaya menjadi tuan rumah temasya sukan The Association For International Sport For All (TAFISA) 1st Asian Sport For All Games 2022 yang akan berlangsung di bandar raya ini dua tahun lagi.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata demikian dan ini selepas Sarawak membida menjadi tuan rumah sukan terbabit di Tokyo, Jepun tahun lepas.

"Kami berjaya mendapatkan 1st TAFISA Asian Sport For All Games pada 2022 atau dua tahun lagi. Tetapi persiapannya perlu dilakukan awal kerana banyak negara akan menyertainya dan boleh mencecah sebanyak 80 negara,"katanya ketika mengadakan sidang media dan menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) acara sukan terbabit di Bangunan Baitulmakmur, Petra Jaya, di sini, hari ini.

Abdul Karim berkata temasya sukan itu dicadangkan diadakan Ogos 2022 tetapi pihaknya akan menetapkan tarikh harinya selepas ini bagi mengelakkannya bertembung tarikh 31 Ogos yang merupakan hari Kemerdekaan Malaysia.

"Keseluruhan bandar raya ini akan digunakan bagi acara sukan terbabit, kami tidak boleh meletakkan mereka (peserta) hanya di Kompleks Sukan Sarawak sahaja, kerana acara membabitkan air dan mungkin diadakan di Sungai Sarawak,"katanya.

Beliau bagaimanapun tidak dapat memberikan butiran jumlah dan jenis acara dipertandingkan dalam temasya sukan terbabit kerana segalanya diputuskan jawatankuasa penganjuran 1st TAFISA Asian Sport For All Games 2022.

Katanya ini kerana temasya sukan terbabit bukan menampilkan acara sukan persaingan biasa tetapi campuran kebudayaan dan tradisi.

"Ianya boleh jadi acara memanah tradisi, permainan gasing, lumba perahu regatta, layang-layang yang bergantung kepada permintaan negara menyertainya dan diputuskan jawatankuasa penganjuran," katanya.

Karim berkata kemungkinan Sarawak akan memohon jawatankuasa penganjur sukan terbabit menyertakan acara menyumpit selain acara layang-layang yang menjadi budaya tradisi tempatan.

Beliau berkata Sarawak amat bertuah menjadi tuan rumah acara itu dalam tempoh dua tahun lagi kerana akan kali pertama diadakan di rantau Asia dan sebelum ini sukan terbabit kebiasaanya diadakan di Eropah.


keterangan gambar;

1. Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah ( empat dari kiri ) menunjukkan poster temasya sukan 1st TAFISA Asian Sport For All Games 2022 yang akan diadakan di bandar raya ini selepas mengadakan sidang media dan menandatangani MoU temasya itu di Bangunan Baitulmakmur, Petra Jaya, di sini, hari ini.
LihatTutupKomentar
Cancel