Tiada lagi tekanan air rendah Februari 2021

KUCHING: Penduduk di sekitar Jalan Sultan Tengah di sini boleh menarik nafas lega kerana masalah tekanan air rendah yang menghantui mereka selama ini bakal berakhir apabila Projek Rakyat Bekalan Air Samariang (Fasa 1) bernilai RM85 juta siap menjelang Februari tahun depan.

Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, projek itu melibatkan pembinaan pam penggalak berkapasiti 50 juta liter sehari dan tangki aras tinggi berkapasiti 12 juta liter. 
Menurutnya, projek itu turut melibatkan pemasangan saluran paip bersaiz 1,200 mm sepanjang 13 kilometer (km) dari persimpangan Jalan Matang ke stesen pam penggalak dan saluran paip bersaiz 700mm sepanjang tiga km dari stesen pam penggalak ke tangki aras tinggi.

“Apabila mula beroperasi nanti, projek yang dibiayai sepenuhnya kerajaan Sarawak ini akan menambah baik sistem bekalan air di kawasan yang sering mengalami tekanan air rendah pada waktu puncak.

“Ia juga akan dapat memenuhi permintaan pengguna yang semakin meningkat menjelang tahun 2030 di sepanjang Jalan Sultan Tengah hingga ke Damai,” katanya selepas Sesi Taklimat Projek Rakyat Bekalan Air Samariang (Fasa 1) di Dewan Masyarakat Bandar Baru Samariang pada Selasa.

Beliau menambah, kawasan di sepanjang Jalan Sultan Tengah memerlukan sekitar 20 juta liter air sehari untuk keperluan harian.

Katanya, dengan pembinaan projek ini, penyaluran air dapat ditingkatkan kepada 27 juta liter sehari.

"Ia dapat memenuhi permintaan masyarakat sehingga tahun 2030," ujarnya.
LihatTutupKomentar
Cancel