Tiga tokan dadah berdepan hukuman mati
KUCHING: Pihak polis merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai lebih RM394,000 dengan penangkapan tiga tokan dadah di sebuah premis makanan di bandaraya Kuching.
Tangkapan pada jam 4.50 petang selasa lalu, dilakukan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik(JSJN) Sarawak berjaya menemui sembilan paket serbuk ekstasi bernilai RM3,150, 330 biji pil Erimin 5 bernilai RM16,500, 151 papan pil Erimin 5 bernilai RM3,020, 100 gram syabu bernilai RM15,000, 1,328 gram ketamin bernilai RM199,200 dan 1,050 gram serbuk ekstasi bernilai RM157,500.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak Superintendan Hasnir Abdul Hamid berkata, rampasan semua dadah itu dibuat dalam kereta suspek di lokasi mereka ditahan dan di sebuah rumah di Bandar Baru Batu Kawa.
"Kesemua tokan dadah lelaki tempatan berusia 21, 24 dan 31 tahun itu telah ditahan.
"Ketiga-tiga mereka yang merupakan penganggur mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah didapati positif dadah jenis syabu dan ketamin,"katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, turut disita wang tunai berjumlah RM5,600 dan peralatan untuk membungkus dadah.
"Reman telah diluluskan selama tujuh hari ke atas semua suspek,"ujarnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.