Tun Mahathir pertahan keputusan Tabung Haji
PUTRAJAYA : Tun Dr Mahathir Mohamad mempertahankan keputusan Tabung Haji (TH) memindahkan pemilikan rangkaian hotel TH Hotel & Residence Sdn Bhd (THHR) kepada anak syarikat milik Kementerian Kewangan.
Menurut Perdana Menteri, keputusan pemindaha empat rangkaian hotel milik TH kepada anak syarikat Kementerian Kewangan itu dibuat selepas mendapati beberapa hartanah milik TH tidak memberi keuntungan kepada agensi berkenaan.
“Ada beberapa hartanah yang tidak beri keuntungan. Maka mereka perlu melupuskannya, namun ada beberapa cara lain untuk melabur duit berkenaan supaya memberi pulangan,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Bulan Antidadah Kebangsaan 2020 di Putrajaya, semalam.
Terdahulu, TH mengumumkan operasi empat rangkaian hotel miliknya dipindah milik kepada anak syarikat Kementerian Kewangan, iaitu Urusharta Jamaah Property Management Sdn Bhd (UJPM) mulai April ini.
Empat hotel THHR yang terlibat adalah TH Hotel Kota Kinabalu, TH Hotel Pulau Pinang, TH Hotel & Convention Centre Alor Setar dan TH Hotel & Convention Centre Terengganu.
TH mengumumkan, pengambilalihan operasi dan perkhidmatan rangkaian hotel oleh UJPM merupakan sebahagian daripada pelan pemulihan semula dan penstrukturan institusi tersebut.
Langkah itu diambil bagi memenuhi mandat yang diberikan untuk mengurangkan komitmen kerajaan.
Sebelum itu tular makluman yang dikatakan notis dalaman THHR mendakwa empat hotel itu dihentikan operasi, yang kemudian mengundang kebimbangan pengkritik.
TH menjelaskan hotel itu akan dikenali dengan nama baru Raia Hotel dan kekal dengan dengan konsep patuh syariah.
Kesemua hotel itu adalah sebahagian daripada pemindahan aset yang terdiri daripada 29 aset hartanah, satu syarikat tidak tersenarai dan pegangan ekuiti yang mempunyai nilai semasa sebanyak RM9.63 bilion pada hari pemindahan, menurut TH.
TH juga berkata tiada kakitangan akan diberhentikan kerja. Bagaimanapun 10 peratus pekerjanya akan diserap oleh hotel TH di Kelana Jaya, Petaling Jaya.