Operasi rangkaian hotel TH diteruskan
KUALA LUMPUR : Lembaga Tabung Haji (TH) bersama Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJ) mengumumkan bahawa operasi empat buah hotel yang telah dipindah milik daripada TH kepada UJ akan diteruskan di bawah anak syarikat milik penuh UJ iaitu UJ Property Management Sdn Bhd (UJPM).
Hotel terlibat ialah TH Hotel Kota Kinabalu, TH Hotel Bayan Lepas, TH Hotel & Convention Centre Alor Setar dan TH Hotel & Convention Centre Kuala Terengganu.
TH dalam kenyataan di sini semalam memaklumkan, UJPM akan mengambil alih operasi keempat-empat hotel tersebut yang sebelum ini di bawah seliaan TH Hotel and Residence Sdn Bhd (THHR) bermula 1 April tahun ini.
Jelas kenyataan itu, kesemua hotel ini adalah sebahagian daripada pemindahan aset yang terdiri daripada 29 aset hartanah, sebuah syarikat tidak tersenarai dan pegangan ekuiti yang mempunyai nilai semasa sebanyak RM9.63 billion pada hari pemindahan.
"UJ telah menerbitkan sukuk sejumlah RM19.6 billion dan membayar RM300 juta tunai bagi melengkapkan transaksi ini.
"Penubuhan UJPM ini merupakan salah satu langkah untuk memastikan kesinambungan pekerjaan serta operasi hotel memandangkan aset-aset hotel di bawah milikan TH telah berpindah milik kepada UJ pada Disember 2018 tanpa berlakunya perpindahan pengurusan dan kakitangan hotel" jelas kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, operasi hotel di bawah pengurusan baharu ini akan beroperasi seperti sedia kala dan kekal sebagai hotel patuh syariah dengan nama baharu iaitu Raia Hotel mulai 1 April ini.
UJ juga telah menyediakan dana bagi menambahbaik kemudahan dan fasiliti hotel untuk memberi manfaat kepada pengunjung.
Selain itu, UJ juga ingin menyakinkan orang ramai bahawa hotel-hotel ini boleh digunakan seperti mana yang telah dipraktikkan dulu semasa musim operasi haji.
"Untuk makluman, tiada kakitangan THHR akan diberhentikan.
"Seramai 90 peratus daripada kakitangan THHR akan terus bekerja di rangkaian Raia Hotel, manakala 10 peratus lagi akan diserap oleh THHR Kelana Jaya," ujar kenyataan itu.
Selain itu, kata kenyataan itu, 90 peratus kakitangan terlibat juga akan menerima saguhati berdasarkan sumbangan yang telah diberikan sepanjang tempoh perkhidmatan di THHR.
Malah, TH akan sentiasa menjaga kebajikan kakitangan terlibat demi kelangsungan karier mereka di masa hadapan.
Pengambilalihan operasi dan perkhidmatan rangkaian hotel oleh UJPM merupakan sebahagian daripada Pelan Pemulihan Semula dan Penstrukturan TH.
Langkah pengambilalihan operasi hotel-hotel ini daripada THHR adalah langkah-langkah yang perlu diambil oleh UJ bagi memenuhi mandat yang telah diberikan oleh kerajaan bagi mengurangkan komitmen kerajaan.
UJ memainkan peranan penting untuk memastikan objektif ini tercapai dan akan sentiasa giat berusaha untuk mengembangkan nilai aset-aset di bawah portfolio UJ.
Justeru, ujar kenyataan itu, TH dan UJ berharap rakyat Malaysia akan memberikan sokongan sepenuhnya kepada pihak pengurusan baharu yang akan menjadi operator di empat hotel tersebut.
"Ini kerana daripada segi asasnya, pihak UJ akan meningkatkan imej hotel-hotel tersebut daripada segi penjenamaan semula, menaik-taraf fasiliti dan mengoptimumkan tahap kecekapan.
"UJPM akan diterajui oleh Muhammad Solleh Ramli yang mempunyai pengalaman luas dalam pengurusan perhotelan.
"Beliau pernah menjadi Ahli Lembaga Pengarah Proasset Management Sdn Bhd yang merupakan syarikat pengurusan Hotel MS Garden Kuantan, Pahang dan pernah berkhidmat sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Hotel Seri Malaysia," kata kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, Muhammad memainkan peranan penting di mana beliau telah berjaya meningkatkan prestasi kewangan dan imej syarikat tersebut.