5,000 sertai perhimpunan tabligh diminta tampil


KUCHING: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang mengesan lebih 5,000 peserta yang menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling, Kuala Lumpur pada 27 Februari hingga 1 Mac lalu.

Perhimpunan tabligh itu membabitkan anggaran 10,000 orang dari beberapa negara termasuk Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya menyeru peserta yang menghadiri tampil dan memberi kerjasama kepada agensi itu bagi memastikan jangkitan Covid-19 tidak terus merebak dalam komuniti.


“Maklumat ini berdasarkan kes positif yang disahkan Covid-19 di Brunei melalui International Health Regulations (IHR) Focal Point (FP) Brunei yang memaklumkan kepada IHR FP Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semua Jabatan Kesihatan Negeri sedang menjalankan siasatan lanjut mengenai perkara itu di negeri masing-masing.

“Berikutan daripada kejadian Covid-19 di Brunei, KKM menasihatkan mereka yang menghadiri perhimpunan tabligh sekiranya mengalami gejala diminta untuk menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran atau CPRC negeri.


“KKM juga ingin menggesa supaya semua perhimpunan membabitkan orang ramai (mass gathering) ditangguhkan bagi mencegah kemungkinan jangkitan Covid- 19 berlaku,” katanya.

Sebelum ini, pesakit pertama Covid-19 yang diuji positif pada Isnin lalu menghadiri perhimpunan di sebuah masjid di Sri Petaling dan terbang kembali ke penerbangan AirAsia melalui Miri, Sarawak.

Menteri Kesihatan Brunei Md Isham Jaafar berkata, pesara berusia 53 tahun itu meninggalkan negara itu pada 27 Februari dan kembali pada 3 Mac selepas menghadiri majlis khas bersama peserta tabligh lain dari Brunei, Malaysia, Indonesia dan Thailand.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Brunei menggesa kira-kira 90 warga negara tempatan yang mengikuti perhimpunan tabligh Kuala Lumpur tampil menghubungi pihak jabatan kesihatan negara tersebut.

Katanya, mereka yang sedang mengalami tanda-tanda jangkitan jangkitan perlu segera pergi mendapatkan pemeriksaan.

“Sesiapa yang terlibat dalam perkumpulan tersebut sedang mengalami tanda-tanda jangkitan seperti demam panas, batuk atau kesukaran bernafas hendaklah segera pergi ke Hospital Raja Isteri Pengeran Anak Saleha,” katanya.
LihatTutupKomentar
Cancel