Covid-19: Sukma 2020 diteruskan mengikut jadual - MB Johor

ISKANDAR PUTERI, 11 Mac -- Kerajaan negeri Johor tidak berhasrat menangguhkan penganjuran sukan dwitahunan Sukan Malaysia (Sukma) Johor 2020, Julai ini, susulan gelombang kedua penularan jangkitan COVID-19 di negara ini.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad, berkata pihaknya bagaimanapun akan terus memantau situasi jangkitan itu dari semasa ke semasa.

"Buat masa ini, pihak penganjur tidak memiliki perancangan untuk menangguhkan Sukma 2020, jadi, ia akan kekal dengan jadual yang telah ditetapkan.

"Kita telah menghantar surat jemputan kepada tujuh negeri dan berharap ia dapat terus diadakan kerana semua persiapan sudah berada di peringkat akhir," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor (Exco) di Kota Iskandar, di sini, hari ini.

Hasni berkata demikian ketika ditanya sama ada terdapat kemungkinan penganjuran Sukma Johor 2020 ditangguhkan ekoran situasi terkini COVID-19.

Sukma Johor 2020 dijadualkan berlangsung pada 11 hingga 19 Julai depan sebelum disusuli kejohanan Para Sukma pada 16 hingga 22 Ogos ini.

Setakat tengah hari tadi, jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di negara ini adalah sebanyak 149 kes.

-- Bernama
LihatTutupKomentar
Cancel