ADUN promosi program pemuliharaan tuntung
KUALA TERENGGANU, 16 Mac -- Pelancong yang berkunjung ke Terengganu kini berpeluang merasai pengalaman berbeza jika menyertai program pemuliharaan tuntung di Kampung Temir, Hulu Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan & Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, Kampung Temir mempunyai daya tarikan pelancongan tersendiri berasaskan alam semulajadi, malah ia menjadi habitat tuntung yang pasti memberi pengalaman indah kepada pelancong.
"Saya berpeluang melihat sendiri tuntung betina mendarat ke pesisir sungai di Kampung Temir untuk bertelur malam tadi dan ia adalah pengalaman yang sangat mengujakan terutama bagi mereka yang pertama kali merasai pengalaman ini.
"Ini adalah satu lagi produk pelancongan yang akan kita promosikan dalam usaha menarik pelancong ke Terengganu agar mereka lebih menghargai kewujudan haiwan ini yang semakin diancam kepupusan," katanya kepada Bernama hari ini.
Kampung Temir, yang terletak kira-kira 50 kilometer dari bandar Kuala Terengganu, memang terkenal dengan keindahan alam semulajadinya yang masih belum tercemar namun disebabkan kekurangan promosi dan lokasi yang agak terpencil, ia hanya dikunjungi oleh sebilangan kecil pelancong sebelum ini.
Mengulas lanjut, Ariffin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Limbat berkata hasrat kerajaan negeri Terengganu untuk mempromosikan Kampung Temir itu akan turut melibatkan komuniti kampung berkenaan agar tidak berlaku sebarang pencemaran yang boleh merosakkan khazanah alam semulajadi di kawasan itu.
"Kita melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu akan mengadakan perbincangan dengan jabatan dan agensi terlibat seperti Pejabat Daerah Hulu Terengganu, Majlis Daerah Hulu Terengganu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara, Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu serta Majlis Pengurusan Komuniti Kampung untuk merealisasikan hasrat ini.
"Buat permulaan, pakej pelancongan ke Kampung Temir ini akan dibuka untuk kumpulan kecil yang ingin merasai sendiri pengalaman bersama tuntung ketika musim bertelur iaitu Februari hingga April ini," katanya.
Untuk rekod, pemuliharaan tuntung sungai di Terengganu sebelum ini lebih tertumpu di Kampung Mangkuk, Setiu dan Kampung Pasir Gajah di Kemaman.
-- Bernama