Aktiviti perjudian terus digempur
KUCHING:Unit Anti-Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak akan terus menggempur aktiviti perjudian di negeri ini, biarpun negara kini berhadapan dengan penularan wabak COVID-19.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak, SAC Denis Leong berkata, ancaman kesihatan tidak akan mengekang usaha pihak polis membanteras aktiviti jenayah seperti perjudian dan sebagainya.
"Kita akan terus memerangi aktiviti yang menyalahi undang-undang di negara ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Denis berkata,dalam satu operasi semalam pihaknya telah menyerbu kegiatan perjudian dalam talian di City Square, di sini.
"Kita berjaya menangkap empat lelaki dan dua wanita berusia antara 19 hingga 25 tahun yang terlibat dalam aktiviti judi dalam talian ini," ujarnya.
Tangkapan kesemua suspek dilakukan di bawah Perkara 7 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Dalam Kawasan Tempat Kejadian 2020) dan Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka(ARJT) 1953.