ATM nafi rakaman nota suara dan mesej informasi yang tular

KUCHING: Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Affendi Buang
menafikan sekeras-kerasnya bahawa rakaman nota suara dan mesej informasi menggambarkan kaedah yang diguna pakai oleh ATM dalam membantu PDRM menguatkuasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Masyarakat diminta berhenti menyebarkannya serta-merta kerana mesej atau informasi tersebut boleh mengundang pelbagai spekulasi dan mencetuskan suasana panik dalam kalangan rakyat. 

Rakaman nota suara (voice message) dan mesej informasi yang tular menerusi aplikasi WhatsApp dan lain-lain medium media sosial adalah seperti berikut:
“Assalamualaikum, Selamat Petang semua sekali, saya nak telefon sorang-sorang saya tak mampu. Jadi saya maklum dalam group ni jelah. Kami semua sekali angkatan tentera dah buat persiapan. Nampaknya kalau sesiapa yang melanggar arahan Perintah Kawalan ni dengan tak cakap banyak terus pukul ......” - berdurasi 39 saat.
“Pihak Kementerian Pertahanan Akan Memohon Bantuan Veteran Tentera Ketiga Tiga Perkhidmatan Untuk Membantu Pihak Berkuasa Dan Negara Bagi Menjalankan Peraturan Perintah Kawalan Pergerakan Orang Awam Seluruh Negara....” 

Adalah ditegaskan, mana-mana individu yang didapati menyebarkan berita palsu boleh didakwa di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

Masyarakat juga tidak perlu bimbang apabila melihat kehadiran anggota ATM daripada ketiga-tiga cabang perkhidmatan iaitu darat, laut dan udara kerana ini merupakan tugas sekunder ATM di waktu aman iaitu berperanan membantu pihak berkuasa awam dalam memelihara keamanan negara. 

Sebaliknya, orang ramai perlu bekerjasama dalam mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan agar usaha membendung penularan COVID-19 dapat dilaksanakan sebaik mungkin.
LihatTutupKomentar
Cancel