Masyarakat bantu pecah rantaian penyebaran wabak COVID-19


KUCHING: Masyarakat boleh bersama membantu memecahkan rantaian penyebaran wabak COVID-19 dengan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama 14 hari yang telah ditetapkan oleh kerajaan demi memastikan negara bebas daripada wabak COVID-19. 

Pengarah Kastam Negeri Sarawak, Dato Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata, usaha menangani wabak ini memerlukan sokongan rakyat secara holistik. 
"Semoga petugas barisan hadapan akan terus cekal dalam menjalankan tugas demi keselamatan dan kemakmuran negara.

"Terkini penularan COVID-19 memberi impak kepada seantero dunia dan Malaysia turut terjejas dengan wabak ini,"katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) telah dikeluarkan pada 16 Mac 2020 menerusi perutusan Perdana Menteri Malaysia bagi membendung ancaman COVID-19 ini. 

"Perintah ini merupakan inisiatif kerajaan untuk menjarakkan hubungan sosial (social distancing) dalam kalangan rakyat,"ujarnya.

Dalam pada itu, prihatin dengan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia yang bertungkus lumus menangani COVID-19 di seluruh Sarawak, Jabatan Kastam Diraja Malaysia Sarawak termasuk di Kuching, Bintulu, Limbang dan Lawas terpanggil untuk memberi sumbangan berupa makanan kering, air mineral, air kotak dan kelengkapan peribadi kepada para petugas. 

"Sumbangan ini sebagai tanda menghargai jerih payah, dedikasi, komitmen serta pengorbanan yang telah dicurahkan oleh warga kerja hospital yang bertugas membendung penyebaran jangkitan virus COVID-19 di Sarawak. 

"Harapan JKDM Sarawak semoga lebih ramai lagi akan tampil memberi sumbangan kepada para petugas," katanya.
LihatTutupKomentar
Cancel