Saringan COVID-19 ditukar ke Kompleks Belia dan Sukan Sarawak
KUCHING: Orang ramai yang ingin mendapatkan perkhidmatan saringan COVID-19 diminta untuk tidak lagi pergi ke Hospital Umum Sarawak (HUS) dan berkunjung ke Kompleks Belia dan Sukan Sarawak, Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce, di sini mulai hari ini.
Bilik Operasi Covid-19 HUS menerusi satu kenyataan hari ini berkata, waktu operasi bagi mendapatkan perkhidmatan itu ialah pada jam 8 pagi hingga 5 petang setiap hari.
Menurutnya, ujian saringan Covid-19 diutamakan kepada mereka yang menunjukkan tanda-tanda awal jangkitan wabak seperti demam atau mengalami jangkitan salur pernafasan akut dengan mana-mana atau semua simptom iaitu sesak nafas, batuk dan sakit tekak.
"Kumpulan atau individu itu mempunyai sejarah melawat atau tinggal di negara terjejas, termasuk China, Itali, Korea Selatan, Itali, Iran, Jepun dan lain-lain serta mempunyai kontak rapat dengan kluster kes positif Covid-19 Sarawak dalam tempoh 14 hari sebelum gejala turut dikehendaki menjalani saringan kesihatan.
"Antara Kluster di Sarawak adalah Ijtimak Tabligh (Sri Petaling), Gereja Emmanual Baptist (Kuching), Gereja Good News Fellowship (Kuching), majlis makan malam Parti Tindakan Demokratik (DAP) di Crown Square Kuching pada 7 Mac dan Hari St Josephian Kuching pada 13 Mac,"katanya.
Katanya, kos rawatan untuk hospital kerajaan adalah percuma bagi mereka yang memenuhi kriteria tapisan kesihatan.