COVID-19:P atuhi PKP 14 hari
KUCHING:Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama 14 hari mesti dipatuhi, malangnya masih ada yang enggan mematuhi perintah itu dan meneruskan aktiviti mereka di luar rumah.
Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing berkata,ini secara terang mencabar penguatkuasa yang menjalankan tugas tanpa mengambil kira kesihatan mereka dan orang lain.
"Tingkah laku yang tidak bertanggungjawab ini akan memberi tekanan yang lebih besar kepada penguatkuasa dalam usaha untuk melindungi kita semua.
"Tolong tinggal di rumah dan jangan menyebarkan maklumat palsu atau tidak sahih, inilah yang terbaik yang boleh kita lakukan untuk semua," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya,semua rakyat mesti memainkan peranan masing-masing dalam membantu pihak berkuasa mengekang penularan wabak Covid-19 yang semakin parah di Malaysia.
"Dalam tempoh kritikal ini rakyat Sarawak khasnya perlu bekerjasama dan segera melakukan saringan kesihatan ke hospital berdekatan jika tersentuh atau kontak rapat dengan pesakit positif Covid-19.
"Lakukan ini demi keluarga dan rakan-rakan ada serta jangan terlalu berasa senang kerana ia boleh berlaku kepada anda dan sesiapa sahaja kerana penyebaran virus ini dalam komuniti terlalu besar.
"Tetapi, pada masa kritikal ini, kita semua harus tenang, mematuhi nasihat dan arahan kerajaan serta memberikan kerjasama sepenuhnya,"katanya.