Brunei rekod kes pertama Covid-19


Oleh Wan Noor Hayati Wan Alias

KUALA LUMPUR : Brunei merekodkan kes pertama jangkitan Covid-19 membabitkan rakyatnya yang baru mengunjungi Kuala Lumpur.

Kementerian Kesihatan Brunei dalam satu kenyataan memaklumkan, lelaki berkenaan berusia 53 tahun didapati positif dijangkiti covid-19, pada petang semalam.

Lelaki berkenaan difahamkan baru pulang ke Brunei pada 3 Mac dari Kuala Lumpur bersama dengan tiga orang rakan.

Beliau telah menghadiri satu perhimpunan agama di Masjid Jamek Sri Petaling yang dihadiri lebih 100 orang dari Malaysia, Indonesia dan Thailand.

Beliau bersama tiga rakannya pulang ke Brunei melalui Miri, Sarawak pada 3 Mac lalu.

Pada masa ini, pesakit tersebut sedang menerima rawatan di Pusat Pengasingan Kebangsaan, Tutong.

Pesakit dikatakan mula merasa kurang sihat, sakit badan, demam panas, batuk dan selsema pada 7 Mac dan telah mendapatkan rawatan di bahagian kecemasan di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha pada keesokkan harinya.

Berdasarkan maklumat diperoleh, pesakit tersebut mempunyai sejarah perjalanan ke negara yang terjejas dan menghidapi tanda-tanda jangkitan pernafasan.

Apabila ujian untuk mengesan jangkitan Covid-19 dilaksana, ujian awal mendapati pesakit itu terkena jangkitan Covid-19.

Bagaimanapun, Kementerian Kesihatan pada masa ini masih menunggu hasil ujian pengesahan.

Menurut kementerian itu, pada ketika ini, pesakit berada dalam keadaan yang baik dan stabil.

“Pihak Kementerian Kesihatan telah bertindak segera dengan mengesan dan menghubungi kesemua kontak termasuk ahli keluarga pesakit dan tiga orang rakan yang ikut serta dalam perjalanan bersama pesakit tersebut.

“Kesemua ahli keluarga yang tinggal serumah bersama pesakit telah diberikan notis untuk menjalani kuarantin selama 14 hari. Kontak-kontak tersebut juga akan menjalani ujian bagi mengesan jangkitan Covid-19,” katanya.

Berikutan itu, Kementerian Kesihatan Brunei menasihatkan rakyatnya agar menangguhkan perjalanan ke negara-negara yang terjejas bagi mengetatkan lagi kawalan kemasukan penyakit ke negara tersebut.

Kementerian Kesihatan juga akan terus mengekalkan kesiapsiagaan yang tinggi dalam mencegah dan mengawal penularan jangkitan Covid-19 di negara Brunei Darussalam.

Langkah pematauan dan penilaian risiko bagi mengesan sebarang jangkitan Covid-19 dalam kalangan masyarakat telah dipertingkatkan dalam dua minggu yang lalu, memandangkan terdapat peningkatan penularan jangkitan di rantau Asia-Pasifik.


LihatTutupKomentar
Cancel