COVID-19: 1,006 anggota ATM bantu PKP
SERIAN: Seramai 1,006 anggota dan pegawai Angkatan Tentera Malaysia(ATM) di Sarawak membantu pihak polis melaksanakan sekatan jalan raya sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) sejak 22 Mac yang lalu berikutan penularan wabak COVID-19 pada masa ini.
Panglima 1 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Md Din Abu berkata,sebanyak 366 sekatan jalan raya dan lapan rondaan dilaksanakan.
"Tanggungjawab kita ialah mengadakan rondaan,sekatan jalan raya,mengawal hospital dan sempadan, kawasan luar bandar dan awam.
"Kita turut melakukan kawalan sempadan di Serikin,Tebedu,Balai Ringin,Lubok Antu dan Telok Melano," katanya ketika ditemui selepas Pemantauan Penguatkuasaan PKP di SJR Serian, di sini,hari ini.
Katanya,kerjasama antara ATM dan pihak polis cukup baik terutama dari segi logistik dan sebagainya.
"Kita memerlukan kerjasama seluruh masyarakat bagi mematuhi PKP ini dengan hanya tinggal di rumah seperti yang diarahkan bagi memutuskan rantaian COVID-19,"ujarnya.
Beliau berkata,anggota dan pegawai ATM yang bertugas sepanjang PKP juga diwajibkan menjalani saringan kesihatan bagi memastikan mereka bebas COVID-19.
"Saringan kesihatan ini dilaksanakan sebelum dan selepas mereka menjalankan tugasan untuk keselamatan anggota sendiri dan keluarga,"katanya.
Katanya,untuk keselamatan anggota dan keluarga di kem seperti di Kem Penrissen, pihaknya menguatkuasakan larangan untuk keluar dari kawasan kem selepas jam 7 malam.
