COVID-19: 37 ditangkap ingkar PKP di Sarawak

KUCHING: Seramai 37 orang ditangkap kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) melalui sekatan jalan raya mulai jam 8 malam tadi hingga jam 8 pagi ini di seluruh Sarawak setakat ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata, daripada jumlah itu 33 yang ditangkap terdiri daripada lelaki manakala empat lagi adalah wanita.

"Bahagian Bintulu mencatat jumlah tangkapan tertinggi iaitu seramai lapan orang, Kuching 6 orang, Miri dan Bau masing-masing lima orang, Lundu empat orang, Padawan tiga orang, Limbang dua orang dan masing-masing satu tangkapan di Kota Samarahan dan Serian.

"Mereka ditangkap kerana tidak dapat memberi alasan yang sah untuk berada di jalanraya atau tempat awam sepanjang PKP.

"Kesemua mereka telah dibebas dengan jaminan polis setelah percakapan mereka dirakam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, tangkapan dibuat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan / Peraturan 7 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan 2020).

Kesemua suspek jika disabitkan kesalahan boleh dijatuhkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
LihatTutupKomentar
Cancel