Tabung Baitulmal Sarawak permudahkan bantuan
KUCHING: Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) menyediakan tiga saluran untuk memudahkan orang ramai mendapatkan bantuan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pengurus Besar TBS Datu Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie berkata, tiga saluran tersebut melalui jejak asnaf, portal bantuan baitulmak kamek dan melalui emel.
Menurutnya, melalui jejak asnaf, pemohon boleh memohon bantuan dan orang ramai boleh membantu mereka dengan menyalurkan maklumat mereka yang layak.
Katanya, orang ramai juga boleh melayari portal bantuan baitulmal kamek (https://pelanggan.tbs.org.my.) dan seterusnya melalui emel (admin@tbs.org.my).
"Maklumat permohonan secara online akan diproses sebelum tindakan lanjut," katanya.
Katanya, TBS berusaha secepat yang mungkin untuk membantu golongan yang memerlukan terutama ketika wabak Covid-19 melanda.
Dalam pada itu katanya, pihaknya mewujudkan Pusat Pengagihan Ummah di Medan Hamidah di Kuching, bagi mengagihkan bantuan keperluan makanan kepada mereka yang layak.
Katanya, bagi kawasan lain penerima akan mendapat bantuan di beberapa kedai yang dikenal pasti.
Dalam perkembangan lain, pihaknya juga menyalurkan sumbangan kepada pihak barisan hadapan terutama pasukan perubatan di hospital Kuching, Miri dan Kota Samarahan.