COVID-19: Gelandangan di Sarawak dibantu


KUCHING: Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak mengambil inisiatif menyediakan bantuan makanan dan minuman kepada gelandangan berikutan penularan wabak COVID-19 pada masa sekarang.

Menterinya, Datuk Sri Fatimah Abdullah berkata, langkah itu diambil bagi mengelak golongan terbabit berkeliaran di waktu langkah Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) ini.

"Kita nasihatkan gelandangan menjaga diri dan tidak berkeliaran pada masa ini bagi memutuskan rantaian wabak COVID-19.

"Kementerian kita akan membekalkan makanan dan minuman kepada mereka dan mengalu-alukan kehadiran mereka di Anjung Singgah yang ada di negeri ini,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas membuat tinjauan di beberapa buah lokasi gelandangan di bandaraya Kuching hari ini.

Yang turut hadir Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Datuk Wee Hong Seng.

Menjelas lanjut,katanya, pihaknya mengenal pasti seramai 144 orang gelandangan di 12 bahagian di Sarawak setakat ini.

"Bahagian Kuching mencatatkan jumlah gelandangan tertinggi iaitu 44 orang yang terdiri daripada 34 lelaki dan 10 perempuan.

"Untuk jumlah keseluruhan, 83 orang gelandangan adalah lelaki manakala 31 perempuan,"katanya.

Beliau berterima kasih kepada pihak Polis Diraja Malaysia(PDRM) yang banyak membantu kementeriannya dalam mengenal pasti kawasan gelandangan di negeri ini.

"Melalui maklumat PDRM, kita berjaya menyelamatkan golongan ini (gelandangan) walaupun kita tahu sekarang PDRM sedang sibuk mengawal pergerakan orang ramai ketika PKP.

"Kita harap golongan gelandangan menyedari usaha yang dilakukan kerajaan bagi memastikan kesihatan dan keselamatan mereka terjamin,"katanya.

Beliau berkata,bagi golongan daif pula, kementeriannya turut mengagihkan beberapa keperluan makanan seperti beras, gula, teh, kopi dan sebagainya.

"Kita tidak mahu melihat golongan ini (daif) terputus bekalan makanan ketika COVID-19 ini.

"Kita akan berusaha sedaya upaya turun padang untuk membantu mereka,"katanya.
LihatTutupKomentar
Cancel