Covid-19 : Jangan balik kampung


Dalam tempoh dua minggu, jangan pulang ke kampung atau mereka dari kampung pun jangan datang ke bandar.

Itu nasihat daripada Pakar kawalan penyakit berjangkit, Profesor Dr Adeeba Kamarulzaman berhubung langkah kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung penularan Covid-19 berkuatkuasa esok hingga 31 Mac.

“Tindakan balik kampung atau bercuti dalam negeri untuk tempoh dua minggu ke depan hanya akan menggagalkan usaha kerajaan untuk membendung penularan Covid-19.”

“ Orang awam sewajarnya tidak bergerak ke mana-mana dan seharusnya kekal di mana mereka berada,” katanya dalam ciapan di Twitter malam tadi sebagaimana dilaporkan oleh Malaysiakini.

Dr Adeeba yang juga dekan Fakulti Perubatan Universiti Malaya berkata, berkata demikian sebagai menjawab soalan kepada soalan stesen Astro Awani sama ada wajar untuk orang ramai balik kampung semasa tempoh Perintah Larangan Pergerakan.

Adeeba menambah, arahan ini bertujuan mengehadkan sebarang pergerakan, meminimumkan kontak dalam kalangan orang ramai yang boleh menyebarkan virus.

Semalam kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan mulai Rabu ini, 18 Mac hingga 31 Mac di seluruh negara.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata perintah kawalan tersebut dibuat di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.
LihatTutupKomentar
Cancel