Ahli Parlimen Bandar Kuching positif COVID-19


KUCHING: Ahli Parlimen Bandar Kuching, Kelvin Yii disahkan positif COVID-19 dan kuarantin di Hospital Umum Sarawak (SGH) untuk pemantauan lanjut.

Menurutnya, Jabatan Kesihatan telah mengeluarkan keputusan ujian COVID-19 malam tadi dan Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen (MP Stampin) didapati negatif.

"Saya dimasukkan lewat malam tadi dan ketika ini sedang dikuarantin di HUS. Saya dalam keadaan stabil. Ujian di wad juga menunjukkan bahawa saya tidak demam dan semua tanda adalah normal.

"Saya telah berhubung dengan Wong Ling Biu (MP Sarikei) pada 2 Mac 2020. Walau bagaimanapun sejak itu, selama 14 hari yang lalu, saya tidak menunjukkan sebarang simptom tipikal virus tersebut," katanya dalam facebook.

Beliau berkata, Jabatan Kesihatan juga mengesan hubungan lain yang mungkin dan sumber jangkitan di atas hubungan dengan Wong Ling Biu.

"Jabatan Kesihatan telah memberi jaminan bahawa semua langkah berjaga-jaga yang diperlukan termasuk untuk mengenal pasti dan menghubungi mereka yang rapat dengan saya untuk siasatan lanjut atau ujian jika perlu.

"Kami juga ingin memberi jaminan kepada anggota awam yang berhubung dengan saya supaya tidak panik dan terus mengambil langkah berjaga-jaga yang diperlukan bagi mengelakkan penyebaran virus tersebut.

"Cadangan standard untuk semua ialah mengekalkan jarak sosial, kuarantin rumah jika boleh, elakkan sebarang perjalanan yang tidak diperlukan di luar dan juga untuk mengekalkan kebersihan peribadi yang baik.

"Dalam apa jua kes, jika sesiapa sama ada mereka pernah berhubung dengan saya atau tidak, menunjukkan gejala penyakit tersebut, saya menasihati mereka untuk meminta bantuan perubatan.

"Saya ingin memohon maaf atas segala kesulitan yang berlaku, tetapi saya amat percaya kita akan melalui ini bersama-sama," katanya.
LihatTutupKomentar
Cancel