COVID-19:Tiada kompromi kepada mereka yang degil
PADAWAN:Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Padawan tidak akan berkompromi terhadap orang ramai yang masih berdegil dan tidak mematuhi arahan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) bagi mengekang penularan koronavirus (Covid-19).
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Aidil Bolhassan berkata, pihaknya akan mengambil tindakan yang tegas sekiranya orang ramai tidak mengikut peraturan yang ditetapkan mengikut undang-undang termaktub ekoran situasi itu perlu diberi perhatian bagi mengelakkan rebakan wabak berkenaan lebih serius.
"Kita akan menjalankan operasi bagi memberi kesedaran serta nasihat kepada masyarakat mengapa mereka perlu mengikuti arahan ditetapkan kerajaan.
"Lagipun perkara ini perlu diberi perhatian yang amat penting dalam usaha membendung wabak serius yang melanda negara kita,"katanya di sini hari ini.
Katanya,jika ada yang masih berdegil dan ingkar tindakan tegas mengikut undang-undang akan dikenakan terhadap pihak yang terlibat.
"Antara tindakan yang boleh dikenakan terhadap mereka termasuk di bawah Akta Polis, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit,"ujarnya.
Beliau turut menyeru kepada masyarakat umum agar dapat memberi kerjasama atau menyalurkan maklumat sekiranya terlihat perbuatan-perbuatan yang melanggari perintah kawalan pergerakan (Covid-19) dan boleh menyalurkan maklumat tersebut kepada DCC IPD Padawan ditalian 082-862641 - Ext : 266.