Ditangkap ketika asyik memancing
MIRI : Sikap degil seorang lelaki warga emas mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan pergi memancing mengundang padah setelah ditahan polis.
Lelaki berumur 60 tahun itu ditahan jam 9 pagi tadi ketika asyik memancing
di Muara Sungai Miri di sini.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Lim Meng Seah berkata,sepasukan polis peronda melakukan pemantauan di kawasan itu bagi memastikan PKP dipatuhi orang ramai.
"Suspek dibawa balik ke Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya,suspek ditahan kerana didapati melanggar PKP.
Kes disiasat mengikut Seksyen 22 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan) 2020.