Malaysia buka hospital di Stadium jika perlu
KUALA LUMPUR, 29 Mac -- Kementerian Kesihatan (KKM) akan membuka lebih banyak hospital sementara sekiranya kes baharu COVID-19 meningkat secara mendadak.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata hospital sementara yang dibuka akan menempatkan pesakit yang tidak memerlukan bantuan pernafasan.
"Contohnya hari ini kita dapat 150 kes baharu. Kalau kita lihat keadaan harian terdapat peningkatan kes baharu secara mendadak, jadi kita mungkin akan buka lagi hospital sementara, dewan-dewan dan stadium, jika perlu.
"Kalau kita dapat 1,000 kes sehari kita mungkin akan guna hospital sementara ini untuk kes-kes yang tak bergejala tetapi positif atau positif tetapi gejala ringan, yang tak melibatkan saluran pernafasan," katanya dalam sidang media perkembangan COVID-19 hari ini.
- Bernama