Dua lagi maut Covid-19 di Sarawak



KUCHING: Sarawak merekodkan dua lagi kes kematian akibat COVID-19 pada 
hari ini, menjadikan jumlah mangsa terkorban COVID-19 seramai lima kes setakat ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak dalam kenyataan berkata, mangsa keempat merupakan seorang lelaki berumur 49 tahun dan anak kepada mangsa kematian COVID-19 Sarawak yang kedua.

Menurutnya, pesakit telah  dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak pada 18 Mac 2020 dan disahkan positif COVID-19 pada 20 Mac 2020.

"Pesakit telah meninggal dunia pada hari ini. Mangsa kelima merupakan perempuan berumur 51 tahun yang berasal dari Limbang. 

"Pesakit merupakan kontak rapat kepada seorang jemaah tabligh  di Masjid Jamek Seri Petaling.

"Kes mula menunjukkan gejala pada 14 Mac dan telah dimasukkan ke Hospital Limbang sebelum dipindahkan ke Hospital Miri pada hari yang sama.

"Pesakit telah disahkan positif COVID-19 pada 16 Mac 2020 dan meninggal dunia hari ini," katanya dalam kenataan.

Beliau berkata, Sarawak merekodkan pertambahan enam kes baharu positif 
COVID-19, menjadikan jumlah bilangan kes di Sarawak sebanyak 82 kes
sejak kes positif pertama dilaporkan pada 13 Mac lalu.

Menurutnya, kesemua kes baharu ini disaring atau dirawat di Hospital Umum Sarawak. 

"Pada hari ini, sebanyak 32 kes baru Person Under Investigation (PUI) 
jangkitan COVID-19 yang dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan 
sebanyak 827 kes.

"Daripada jumlah itu, 718 kes adalah negatif dan 27kes PUI masih menunggu keputusan makmal," katanya.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak menyeru semua rakyat
patuh pada Perintah Kawalan Pergerakan dan memberi kerjasama penuh 
kepada agensi-agensi kerajaan dalam menjalankan tugas mereka.

Katanya, setiap orang hendaklah memainkan peranan masing-masing dalam membendung wabak penyakit ini.
LihatTutupKomentar
Cancel