ESSCom gempur talibarut penculik

KUNAK, 11 Mac -- Operasi menggempur penempatan pendatang asing tanpa izin (PATI) diteruskan melalui Operasi Gasak Laut siri ketiga di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) bagi mengesan dan menjejak saki-baki tali barut kumpulan penculikan untuk wang tebusan (KFRG), awal pagi tadi. 

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) Datuk Hazani Ghazali berkata dalam operasi yang bermula 3.30 pagi hingga 8 pagi itu, ESSCom memeriksa 187 penduduk yang tinggal di perkampungan atas air.

Susulan itu, Hazani berkata ESSCom menahan 42 pendatang berumur tiga hingga 63 tahun kerana tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah di tiga lokasi berasingan iaitu Kampung Pangi, Kampung Hampilan dan Kampung Pangkalan dekat sini.

"Selain mengekang kewujudan tali barut KFRG yang disyaki terdiri daripada kalangan pendatang tanpa izin di ESSZone, ESSCom menerusi Op Gasak ini akan terus diperhebatkan bagi meneutralkan kawasan panas daripada sebarang unsur jenayah.

"Kesemua pendatang yang ditahan terdiri daripada 24 lelaki dan 18 perempuan termasuk lima kanak-kanak akan dihantar ke Pusat Tahanan Sementara (PTS) Tawau bagi tujuan dokumentasi sebelum dihantar ke negara asal masing-masing," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Hazani berkata operasi hari ini disertai 206 anggota keselamatan serta agensi awam berkaitan.
-- Bernama

Kredit gambar : Facebook ESScom
LihatTutupKomentar
Cancel