FAM tangguh semua kejohanan
KUCHING: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia Datuk Hamidin Mohd Amin mengumumkan perlawanan Liga Super, Liga Premier, M3, M4, Piala Belia dan MPFL 2020 yang berlangsung hari ini hingga Ahad berlangsung tanpa penonton.
Sehubungan itu, berkuat kuasa 16 Mac (Isnin) semua pertandingan anjuran FAM dan MFL termasuk perkawanan Shopee Piala FA Malaysia dan Piala Presiden 2020 ditangguhkan ke satu tarih baharu yang akan ditetapkan kemudian.
Perkara tersebut diputuskan FAM dan badan pengendali liga, Malaysian Football League (MFL) bersama pihak-pihak yang berkepentingan dalam mesyuarat khas di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini.
Sementara itu, Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) Malaysia dalam kenyataan sebelum ini berkata, semua perhimpunan yang melibatkan orang ramai (mass gathering) perlu ditangguhkan bagi mencegah kemungkinan jangkitan Covid-19.
Ini bermakna penganjur acara sukan tempatan dan antarabangsa dinasihatkan untuk menangguhkan semua acara sukan ke satu tempoh yang akan ditetapkan pihak berkuasa.
Sementara itu, semua perlawanan Liga Perdana Inggeris dan divisyen bawahan di England akan dilangsungkan tanpa penonton bagi langkah pencegahan koronarvirus menurut laporan the Times.
Laporan menyatakan aksi musim ini tidak akan ditangguhkan dan perlawanan tertutup akan dilangsungkan untuk mencegah penularan wabak berkenaan di kalangan orang awam.
Kira-kira 450 orang di Britain telah dijangkiti koronavirus dan lapan daripadanya meninggal dunia.
Menurut The Times “rancangan itu mungkin digunakan apabila jumlah kes koronavirus di UK melepasi angka 500.”
Serie A Itali tertangguh sementara Ligue 1 Perancis dan perlawanan La Liga Sepanyol berlangsung tanpa penonton.
Juventus semalam memaklumkan pemain pertahanannya, Daniele Rugani didapati positif koronavirus, menimbulkan persoalan mengenai pertembungan kelab Itali itu dalam perlawanan timbal balik kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara berdepan Olympique Lyonnais minggu depan.