Gaji bawah RM4,000 terima RM1,600
KUALA LUMPUR: Kerajaan menyediakan pemberian tunai one-off sebanyak RM10 bilion kepada empat kumpulan penerima termasuk golongan M40 menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN).
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin, berkata, kumpulan tersebut empat juta isi rumah berpendapatan RM4,000 ke bawah bakal menerima RM1,600.
Menurutnya, sejumlah RM1,000 diberi kepada hampir 1.1 juta isi rumah berpendapatan RM4,000 hingga RM8,000 yang akan dibayar pada April sebanyak RM500 dan selebihnya Mei.
“RM800 pula kepada individu bujang berusia 21 tahun ke atas dan berpendapatan RM2,000 dan ke bawah," katanya.
Beliau berkata, seramai 400,000 individu bujang berusia 21 tahun ke atas yang berpendapatan bulanan lebih RM2,000 hingga RM4,000 akan menerima RM500, dibayar dua bulan pada April dan Mei.
Menurutnya, baki pemberian tunai di bawah program Bantuan Sara Hidup (BSH) yang sedang dilaksanakan akan dibayar pada bulan Julai 2020 melibatkan peruntukan sebanyak RM3.2 bilion.
"Saya juga tidak lupa kepada para pelajar institusi pengajian tinggi.
"Anda juga akan menerima bantuan secara one-offsebanyak RM200 seorang yang akan dibayar pada bulan Mei 2020.
"Bantuan ini melibatkan peruntukan sebanyak RM270 juta kepada pelajar di pelbagai peringkat pengajian tinggi termasuk matrikulasi, Kolej Komuniti, Politeknik, IPTA dan IPTS," katanya.