TYT dan isteri jamu 750 petugas PDRM
KUCHING – 27 Mac 2020: TYT yang di-Pertua Negeri Sarawak dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Hajjah Raghad Kurdi Taib memberi sumbangan pek makanan berupa nasi biryani ayam dan air mineral kepada bilik gerakan IPK Sarawak untuk diagihkan kepada 750 petugas-petugas dalam usaha membendung penularan wabak COVID-19.
Tun Taib dan Toh Puan Raghad juga merakamkan ucapan terima kasih atas pengorbanan serta komitmen petugas barisan hadapan di Sarawak dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing serta berdoa agar penularan wabak ini berjaya ditangani dan diakhiri dengan segera.
Di majlis penyerahan sumbangan yang diketuai oleh Datu Haji Mustapa bin Han, Setiausaha Sulit Kanan kepada TYT Yang di-Pertua Negeri Sarawak pagi tadi, telah menyerahkan sumbangan tersebut kepada Supritendan Ismail Mahmood, Ketua Jabatan Ketenteraman Awam IPK Sarawak di perkarangan Pejabat TYT Yang di-Pertua Negeri Sarawak.
Datu Mustapa Han memaklumkan sumbangan ini sebagai tanda mengenang dan menghargai perkhidmatan barisan hadapan. Astana Negeri Sarawak akan sedaya upaya meluaskan bantuan kepada pihak barisan hadapan sebagai menghargai kerja keras mereka dalam menangani penularan wabak COVID-19.
Turut hadir di penyerahan tersebut ialah pegawai-pegawai kanan Astana Negeri Sarawak./TAMAT
ASTANA NEGERI SARAWAK
27 MAC 2020